This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Saturday, 21 November 2015

[CERPEN 1] ZEXTER - KISAH SI PENAKLUK DUNIA

Eugenik.

Zexter seorang diktaktor. Keazamannya untuk mengawal dunia tidak pernah padam. Semakin lama dia melihat dunia, semakin membuak keinginannya untuk meletakkan dunia didalam genggamannya.

Bagi dia dunia adalah tempat yang paling menguntungkan, bagi yang tahu. Namun tidak ramai yang tahu. Asbab Zexter ingin mengawal dunia bukanlah kerana kesenangan yang bakal diperoleh. Tetapi cinta. Dia ingin mengerti makna cinta, dengan mengawal dunia. 

Dia sudah lama memusuhi cinta. Semua yang dikaitkan dengan cinta itu sungguh jelik. Dia tidak suka drama-drama cinta; suamiku encik sotong, suamiku ustaz, suamiku pilot. Sial semua itu. Dia juga tidak suka novel cinta, yang bermodalkan fantasi, lalu mencemarkan pemikiran manusia dengan sesuatu yang tidak nyata. Dia juga menjadi muak, apabila manusia mengungkapkan kata-kata cinta pada pasangan mereka tanpa mencapai erti sebenar cinta dalam bait kata-kata mereka. Kata-kata kosong sama sahajalah seperti kata-kata ahli politik. Janji semanis cadbury, tapi semuanya macam babi.

Zexter si sang penguasa sudah lama memulakan gerakannya untuk menakluk dunia. Kebenciannya kepada cinta sudah lama berakar menjadi mekar dalam hatinya. Cinta itu sudah tidak wujud lagi. Yang tinggal hanyalah kebencian pada cinta. 

Sudah beberapa kali percubaan dibuat untuk mencapai hasrat Zexter. Tetapi semuanya gagal. Manusia memiliki 'defense system' yang kuat. Tidak mudah untuk ditembusi. Lagi sukar untuk dipengaruhi. 

Yang pertama, Zexter menggunakan cecair Retroviral. Disebarkan secara  rambang kepada kelompok manusia. Pada mulanya rancangan ini hampir berjaya. Apabila manusia menjalinkan cinta, mereka lupa memakai 'pelindungan'. Akhirnya seorang terjangkit, lalu dua orang, seterusnya tiga orang, dan kini berjuta orang. Retroviral sangat jijik. Cairan nanah itu sudah cukup membuatkan manusia muntah kering tidak berisi. Lalu yang menjalin cinta saling membenci, menjauhi dan akhirnya berpisah. Semua kerana jangkitan Retroviral. Tetapi kejayaan ini hanya sementara. Kira-kira 50 tahun sahaja. Manusia sudah mula menyedari kepentingan 'pelindungan' dan cinta. Yang sakit tidak perlu dibenci. Yang perlu dibenci adalah penyakit. Ya, Retroviral pula dibenci manusia. Semakin lama manusia semakin sedar. 'Pelindungan' sudah dipakai, benci sudah bertukar simpati dan akhirnya membentuk semula cinta. Maka rancangan ini gagal. 

Zexter tidak berputus asa, walaupun usahanya selama 50 tahun ini gagal. Tetapi beliau mempelajari sesuatu. Kegagalan itu bukanlah sepenuhnya gagal. Ada juga saat dimana Zexter menikmati kemenangan.

Seterusnya Zexter melancarkan kempen fitnah. Mula-mula satu fitnah ditaburkan. Seterusnya dua, tiga, empat dan kini berjuta fitnah sudah berkeliaran dalam kelompok manusia. Fitnah adalah senjata yang paling canggih lagi berkesan pada Zexter. Hanya bermodalkan kata-kata palsu, ditukar menjadi seolah-seolah benar, lalu disebarkan kepada manusia yang memilki dengki, ditukar menjadi kebencian. Sekali lagi cinta cuba dihapuskan melalui fitnah dan kebencian. Sangkaan Zexter memang benar. Dunia semakin porak peranda. Fitnah tidak mudah lenyap. Sekali dilepaskan, berkurun berkitaran dari satu manusia kepada manusia yang lain. Daripada fitnah terjadi peperangan, perpecahan dan pergolakan. Zexter ketawa besar melepaskan kegembiraannya. Masa berlalu pantas. Fitnah sudah berleluasa hampir 100 tahun. Kebencian sudah disemai elok dalam diri manusia. Tetapi sesuatu berlaku lagi. Manusia yang kuat pegangan ketuhanannya tidak mudah dipengaruhi fitnah Zexter. Mereka terlalu kebal. Akal mereka sukar ditembusi, tiada ruang lagi untuk diisi dengan fitnah. Semuanya dipenuhi dengan tuhan. Tuhan itu maha besar. Cukup besar memuatkan akal manusia, bagi yang mengingati tuhan. 

Manusia sudah mula mengisi akal mereka dengan tuhan. Fitnah sudah lagi tidak berkesan. Zexter gagal pada akhir tahun ke-100. Zexter sedikit tercabar, namun tidak berputus asa. Zexter mula mengorak langkah seterusnya. Misinya untuk mengawal dunia ternyata bukan misi yang mudah. Tetapi keazaman Zexter cukup tinggi untuk meneruskan agendanya.

Kali ini Zexter mendapat idea baru, yang lain dari sebelumnya. Zexter ingin mengawal minda manusia. Fantasi! Zexter tahu fantasi adalah jawapannya. Zexter ingin mencipta dunia yang tidak wujud, lalu disebarkan kepada manusia. Manusia mudah terpengaruh dengan sesuatu yang tidak wujud. Manusia suka mengimpikan yang indah-indah sahaja. Fantasi adalah cara yang berkesan. Biarkan pemikiran manusia berlegar dalam ruangan yang tidak nyata itu. Jangan diciptakan pintu, supaya mereka terperangkap, tidak boleh menemui jalan keluar. Dalam ruangan itu dipenuhi cinta, keseronokan, keindahan dunia dan lain-lain lagi yang indah-indah belaka. Manusia tidak akan sedar walaupun ia hanya sebuah fantasi. Yang mereka inginkan adalah keindahan sahaja. Biarkan mereka menikmati keseronokan yang tidak nyata itu. Apabila sekali merasakan keseronokan, jiwa mereka akan ketagih, inginkan keseronokan lagi dan lagi. Lihat! Zexter sudah berjaya. Zexter mencapai hasratnya untuk mengawal dunia dengan mengawal minda manusia, dibiarkan dalam dunia tidak nyata. 

Fantasi adalah dunia yang dicipta oleh Zexter, dan manusia sudah lama bergelumang terperangkap disitu. Tidak nyata!

Sesungguhnya Zexter memang seorang diktaktor. Si penakluk dunia.

Jadi siapa yang masih tinggal didunia yang nyata? Zexter? 


Sunday, 8 November 2015

KERAJAAN SUNNI - FAISAL TEHRANI SYIAH

Saya menjadi tertarik dengan penulisan ala-ala underground, sarkastik dan bersahaja setelah mengamati karya-karya Faizal Musa atau dikenali sebagai Faisal Tehrani. Syiah, liberal, sekular, sesat sudah menjadi hemburan kata yang biasa didengar untuk menggambarkan individu ini. Tidak kurang, ada yang berjaya mendedahkan rahsia nama penanya "Tehrani", berasal dari perkataan Tehran yang merupakan salah satu tempat di negara Iran, menepati dakwaan mereka tentang ke-syiah-an Faizal Musa. Faizal=Tehran=Syiah. Maka Faizal adalah syiah. Logik.

Dengan terdedahnya berita ini yang datangnya daripada hasil penyelidikan dan pemikiran orang-orang yang pakar dalam dedah-mendedahkan rahsia, akhirnya menjadi bukti kukuh kepada dakwaan mereka Faisal Tehrani seorang syiah yang menyokong liberalisme dan sekularisme di Malaysia, bumi sunni berdaulat. Orang seperti ini perlu ditentang habis-habisan. Karyanya jangan dibaca. Barangkali karyanya tidak lain menjadi medium dakwah Syiah, bagi menyesatkan golongan Sunni yang suci lagi bersih bak kain putih. Maka sesuatu perlu dilakukan kepada makhluk ini. Dia perlu di hukum atas perilakunya. Itu dosa besar. Lebih besar daripada Sunni yang membina kilang arak dan membenarkan judi halal yang haram, tetapi mengharamkan judi haram yang haram dijalankan di Malaysia, bumi Sunni berdaulat. Syiah kan mengajar pengikutnya yang darah Sunni adalah halal. Ini satu ancaman. Maka Sunni perlu menghalalkan apa sahaja cara untuk diambil tindakan kepada penganut Syiah di Malaysia. Jika Sunni menjadi pemerintah, maka gunakan kuasa dan undang-undangnya. Bersesuaian dengan perintah al-Quran, yang menyuruh kita mencegah kemungkaran dengan kuasa, lisan atau hati mengikut kemampuan.

Dalam karyanya, sebagai contoh cerpen-cerpen underground, ada memuatkan cerpen yang sarkastik dan bersifat mengkritik pemerintah. Ada kisah mama dan sang suami. Ada kisah suami dan jet kesayangannya. Ada juga kisah jenis-jenis salam yang pelbagai di Malaysia, sebagai contoh 'salam 1 Malaysia', yang menjadi kesukaan rakyat-rakyat Sunni. 

Ini tidak lain adalah satu penghinaan kepada pemerintah Sunni. Pantang pemerintah Sunni yang berketurunan Bugis di hina. Pasti tidak akan menyerah begitu sahaja. Mana boleh. Dia telah hina sebuah kerajaan Sunni yang telah memberi makan kepada rakyat jelata, yang membangunkan negara ini menjadi makmur, sehinggakan tidak ada satu pun rakyatnya yang kelaparan. Jika ada yang kelaparan pun itu rakyatnya yang Syiah. Biar sahajalah Syiah kelaparan. Syiah dan kemiskinan diharuskan. Apa pemerintah Sunni peduli. Sebuah kerajaan Sunni ini juga yang telah mengkurniakan cukai baharu kepada rakyatnya, ternyata sebuah cukai yang efisien seperti mesin vakum. Apalah sangat dicukai 6% demi kelangsungan ekonomi negera. Dulu lagi teruk. Semasa cukai SST, rakyat dikenakan 10% + 6%. Pada ketika itu rakyatnya tertindas kerana dicukai 16%. Kini kerajaan Sunni yang perihatin ini telah mengurangkan cukai sebanyak 10% menjadikan jumlah tercukai 6% sahaja. Tentu sahaja kehidupan rakyat semakin baik sekarang. Begitulah yang dikhabarkan oleh salah seorang menteri Sunni, yang dahulunya adalah timbalan menteri di jabatan perdana menteri, seterusnya menjadi timbalan menteri kewangan dan mempromosikan kelebihan GST sana-sini, dan kini menjadi timbalan menteri perdagangan. Benarkan? Manakan seorang menteri Sunni berbohong kepada rakyat Sunni. Jika terbohong pun kepada rakyatnya yang Syiah. Biar sahaja mereka tertipu.

Bukan itu sahaja. Jika mahu diceritakan kebaikan yang telah ditaburkan sebuah kerajaan Sunni ini pasti tidak habis 9 muka surat, perlu celik 9 hari 9 malam dengan 9 kopi sebagai penyegar, untuk menggambarkan betapa banyak jasa mereka. Kata seorang menteri Sunni, kerajaan sedang mendidik rakyatnya. Setelah puas memikirkan cara untuk mendidik rakyat Sunni untuk menjadi lebih kompiten, maka idea untuk mengimplimentasi kenaikan tol lebuh raya difikirkan cara terbaik. Pertama, mendidik rakyat bangun seawal jam 4 pagi untuk ke tempat kerja. Kedua, mendidik rakyat untuk banyakkan menderma kepada kerajaan dengan ikhlas. Nanti duit derma itu akan menjadi bajet tahun hadapan dan disalurkan kepada rakyat Sunni dalam bentuk BR1M sebagai tanda ehsan kerajaan Sunni dan semangat perngorbanan rakyat Sunni, bersesuaian dengan pepatah yang di sampaikan oleh ketua menteri Sunni berketurunan Bugis itu, "Jika tol tidak naik, manakan BR1M bergoyang(naik)" 

Kerajaan Sunni ini juga memahami aspirasi anak muda. Begitulah yang didakwa seorang menteri Sunni yang mengawal harga barang dan cukai. Untuk menunjukkan kerajaan bersama-sama dengan anak muda, kerajaan bersedia bersengkang mata di pejabat untuk mengkaji semula fatwa majlis fatwa kebangsaan. Dalam sebuah negara Sunni ini, sistem yang diguna pakai sangat sistematik. Untuk membuat keputusan yang benar-benar tepat, kerajaan ini mengadakan dua peringkat majlis fatwa. Satu majlis fatwa yang dianggotai ulama Sunni yang berpendidikan agama yang tinggi. Setelah satu keputusan diputuskan, ia akan di kaji semula oleh majlis fatwa yang lebih tinggi darjatnya. Majlis Fatwa Kabinet, yang dianggotai Jemaah kabinet Sunni yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai bidang. Jadi mana-mana keputusan yang tidak bersesuaian untuk menjaga kemaslahatan ummah terutama anak muda, yang penting sebagai pengundi tatkala PRU akan datang perlu ditimbang tara semula. Maaf silap tulis. Anak muda yang penting untuk masa hadapan negara yang lebih gilang-gemilang.

Maka apabila seorang syiah seperti Faisal Tehrani menghina kerajaan yang suci ini, secara langsung telah menghina kesyumulan ajaran Sunni. Dia harus dihukum. Karyanya harus disekat. Jangan sampai jatuh ketangan rakyat yang berhati suci. Nanti merosakkan mereka. Itu yang ditakuti kerajaan ini. Tidak mahu rakyatnya menjadi kotor dengan anasir jahat yang cuba menjatuhkan Malaysia dengan fahaman jahanam, ejen yahudi dan barat ini. Jika tidak mampu mengikat kaki dan tangan secara fizikal, sudah cukup ikat mindanya, sempitkan ruangnya dan hapuskan peluangnya untuk berkarya. Ini yang sewajarnya, mengikut piawaian Freedom of speech atau Human's right, yang menjadi amalan kerajaan Sunni sedia ada. Keputusan ini yang terbaik.

Apabila individu keparat seperti Faisal Tehrani tidak wujud lagi, maka semakin mudah usaha kerajaan untuk melaksanakan agenda mereka demi memakmurkan Malaysia, bumi Sunni berdaulat. Insyaallah! Maka berteriaklah rakyat Sunni sekalian yang menyanjung tinggi kerajaan mereka, "Takbir!!" , "Allahuakbar!" .


Saturday, 7 November 2015

MALAS

Dalam masa sebulan dua ni terlalu banyak perkara berlaku, ada yang diantaranya adalah transisi perkara baru yang saya alami dalam hidup. Barangkali membuatkan saya terlalu sibuk dengan urusan keduniaan dan kewajipan kifayah yang telah saya nekad semenjak bergelar pelajar perubatan.

Saya akui bahawa kesibukan ini membuatkan saya menjadi malas. Seharusnya kesibukan ini terus-menerus mengajar manusia erti masa dan kepentingannya. Ada juga seketika saya merasakan andai masa itu boleh dihentikan sebentar, untuk saya menghirup senafas udara segar (tanpa jerebu) dan menenangkan jiwa. Tapi apa mahu buat. Ini realiti. Jika ditampar rasa sakitnya, jika dicubit rasa bisanya. Maka ruang itu tidak wujud mengikut kemahuan diri ini. 

Malas! Apa yang menjadikan saya malas? Malas untuk melakukan apa? 

Kesibukan ini tidak lain tidak menjadi alasan saya untuk malas berfikir. Kadang-kala dalam waktu begini memberi saya peluang menjiwai watak si keldai yang hanya mengikut tuannya tanpa mempersoalkan apa-apa. Bersyukur! Betapa malangnya menjadi keldai kepada tuan yang rakus seperti itu. Tapi saya, tidaklah bertuankan manusia. Tapi bertuankan keduniaan. Maha dasyat paksaannya. Disuruh-suruh bukan dengan kekerasan, tapi tidak ada pilihan lain selain turuti untuk hidup. Ya, untuk hidup dan peluang mencuri senafas dua udara dalam ruang yang sempit lagi kotor.  Mana tak sempitnya, manusia terkini ada lebih kurang 8billion, berkongsi satu permukaan bumi yang berukuran  510.1 million km², tidak termasuk lautan, hutan-hutan belukar dan padang pasir yang kontang, yang mungkin meliputi 70% daripada seluruh permukaan bumi ini. Sesak! Sesak dengan homosapien yang berbagai langgam dan ragam.

Apabila saya malas berfikir dan sudah lama tidak berfikir, maka akal ini dirasakan semakin tumpul. Tidak tajam lagi. Banyak perkara jadi hilang timbangan. Tidak mampu kritik dengan kritis. Tidak mampu menulis dengan idealis (bahasa indonesia). Itu yang saya takutkan. Takut jika saya seperti homosapien lain, yang hidupnya hanya meneguk apabila dituang, mengangguk apabila diperintah atau...apa sahaja yang dilakukan homosapien tidak berkualiti ini. 

Maka lahirlah penulisan ini. untuk meligatkan akal dan melatih jari-jemari kembali segar dalam bidang penulisan. Ya, penulisan kali ini bukanlah kritikan yang kritikal terhadap isu semasa atau cerita viral di laman sosial. Jerebu, 1MDB, vape, AMANAH dan Pakatan Harapan, Najib, kenyataan menteri yang serba bijak dan lain-lain. Biarlah orang lain yang memberi perhatian terhadap isu itu. 

Jadi apakah yang saya cuba nukilkan dalam penulisan ini? Tiada! Tidak ada apa yang saya mahu sampaikan, melainkan ini hanyalah monolog saya. Anda sedang membaca hati dan fikiran saya. Inilah apa yang menyesakkan ruang akal saya selama waktu kesibukan ini. Jadi adakah anda adalah saya. Jangan mimpi. Ini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada apa yang ada dalam fikiran yang maha serabut ini. Jika ada homosapien yang cuba-cuba untuk meneroka fikiran homosapien yang lain, nescaya mereka sesat. Nak menggambarkan betapa serabutnya akal manusia pemberian tuhan yang maha hebat ini. Barangkali hutan tropika pun tidak serabut itu. 

Jika anda membaca penulisan ini, nyatakan apa yang ada dalam fikiran anda. Luahkan dalam bentuk tinta, sampaikan kepada homosapien yang lain dan harapkan mereka juga berbuat begitu. Jika tuhan menciptakan homosapien tanpa mulut, akal dan tangan sahaja sudah cukup untuk menyebarkan ilmu. Mulut hanya bonus, mudah dan menambahkan intonasi pada setiap kata sahaja. Bukankah penyebaran ilmu yang paling asas itu terletak pada membaca dan menulis, dengan harapan tinta itu tidak hilang untuk generasi homosapien seterusnya. Jika kebodohan yang kita tinggalkan, maka kebodohan yang kita lahirkan. 

Penulisan ini akan tamat disini. Objektif saya untuk menulis penulisan ini sudah tercapai. Saya mahu asah akal kasi tajam. Saya mahu latih jari kasi ligat. Biar tidak malas. Biar tidak mati. Akalku.