Dalam masa sebulan dua ni terlalu banyak perkara berlaku, ada yang diantaranya adalah transisi perkara baru yang saya alami dalam hidup. Barangkali membuatkan saya terlalu sibuk dengan urusan keduniaan dan kewajipan kifayah yang telah saya nekad semenjak bergelar pelajar perubatan.
Saya akui bahawa kesibukan ini membuatkan saya menjadi malas. Seharusnya kesibukan ini terus-menerus mengajar manusia erti masa dan kepentingannya. Ada juga seketika saya merasakan andai masa itu boleh dihentikan sebentar, untuk saya menghirup senafas udara segar (tanpa jerebu) dan menenangkan jiwa. Tapi apa mahu buat. Ini realiti. Jika ditampar rasa sakitnya, jika dicubit rasa bisanya. Maka ruang itu tidak wujud mengikut kemahuan diri ini.
Malas! Apa yang menjadikan saya malas? Malas untuk melakukan apa?
Kesibukan ini tidak lain tidak menjadi alasan saya untuk malas berfikir. Kadang-kala dalam waktu begini memberi saya peluang menjiwai watak si keldai yang hanya mengikut tuannya tanpa mempersoalkan apa-apa. Bersyukur! Betapa malangnya menjadi keldai kepada tuan yang rakus seperti itu. Tapi saya, tidaklah bertuankan manusia. Tapi bertuankan keduniaan. Maha dasyat paksaannya. Disuruh-suruh bukan dengan kekerasan, tapi tidak ada pilihan lain selain turuti untuk hidup. Ya, untuk hidup dan peluang mencuri senafas dua udara dalam ruang yang sempit lagi kotor. Mana tak sempitnya, manusia terkini ada lebih kurang 8billion, berkongsi satu permukaan bumi yang berukuran 510.1 million km², tidak termasuk lautan, hutan-hutan belukar dan padang pasir yang kontang, yang mungkin meliputi 70% daripada seluruh permukaan bumi ini. Sesak! Sesak dengan homosapien yang berbagai langgam dan ragam.
Apabila saya malas berfikir dan sudah lama tidak berfikir, maka akal ini dirasakan semakin tumpul. Tidak tajam lagi. Banyak perkara jadi hilang timbangan. Tidak mampu kritik dengan kritis. Tidak mampu menulis dengan idealis (bahasa indonesia). Itu yang saya takutkan. Takut jika saya seperti homosapien lain, yang hidupnya hanya meneguk apabila dituang, mengangguk apabila diperintah atau...apa sahaja yang dilakukan homosapien tidak berkualiti ini.
Maka lahirlah penulisan ini. untuk meligatkan akal dan melatih jari-jemari kembali segar dalam bidang penulisan. Ya, penulisan kali ini bukanlah kritikan yang kritikal terhadap isu semasa atau cerita viral di laman sosial. Jerebu, 1MDB, vape, AMANAH dan Pakatan Harapan, Najib, kenyataan menteri yang serba bijak dan lain-lain. Biarlah orang lain yang memberi perhatian terhadap isu itu.
Jadi apakah yang saya cuba nukilkan dalam penulisan ini? Tiada! Tidak ada apa yang saya mahu sampaikan, melainkan ini hanyalah monolog saya. Anda sedang membaca hati dan fikiran saya. Inilah apa yang menyesakkan ruang akal saya selama waktu kesibukan ini. Jadi adakah anda adalah saya. Jangan mimpi. Ini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada apa yang ada dalam fikiran yang maha serabut ini. Jika ada homosapien yang cuba-cuba untuk meneroka fikiran homosapien yang lain, nescaya mereka sesat. Nak menggambarkan betapa serabutnya akal manusia pemberian tuhan yang maha hebat ini. Barangkali hutan tropika pun tidak serabut itu.
Jika anda membaca penulisan ini, nyatakan apa yang ada dalam fikiran anda. Luahkan dalam bentuk tinta, sampaikan kepada homosapien yang lain dan harapkan mereka juga berbuat begitu. Jika tuhan menciptakan homosapien tanpa mulut, akal dan tangan sahaja sudah cukup untuk menyebarkan ilmu. Mulut hanya bonus, mudah dan menambahkan intonasi pada setiap kata sahaja. Bukankah penyebaran ilmu yang paling asas itu terletak pada membaca dan menulis, dengan harapan tinta itu tidak hilang untuk generasi homosapien seterusnya. Jika kebodohan yang kita tinggalkan, maka kebodohan yang kita lahirkan.
Penulisan ini akan tamat disini. Objektif saya untuk menulis penulisan ini sudah tercapai. Saya mahu asah akal kasi tajam. Saya mahu latih jari kasi ligat. Biar tidak malas. Biar tidak mati. Akalku.
0 comments:
Post a Comment