Thursday, 1 October 2015

ORIENTASI UNIVERSITI: PENGERAT JALINAN, PENGUKUH KESATUAN?


Sudah menjadi satu tradisi untuk pelajar baru mana-mana institusi pendidikan melalui proses pengenalan kepada suasana baru tempat belajar yang dikenali sebagai orientasi.

Satu fakta menarik mengenai orientasi adalah ia merupakan satu tradisi yang diterima pakai oleh kebanyakan negara dan pelbagai etnik. Cuma yang membezakan setiap orentasi mungkin adalah cara pelaksanaan dan objektif yang ingin dicapai.

Penulisan ini akan lebih menjurus kepada perbincangan orientasi berdasarkan etnik, objektif dan menyentuh pros dan cons dari segi pelaksanaannya di Universiti Malaya, khususnya pelajar perubatan.

Seorang pelajar kemasukan baru Universiti Malaya akan melalui sekurang-kurangnya tiga jenis orientasi selepas hari pertama mereka mendaftarkan diri sebagai warga UM; Minggu Haluan Siswa, Minggu pengenalan fakulti dan orientasi tidak formal yang dijalankan oleh senior.

Minggu Haluan Siswa yang dijalankan selama seminggu adalah satu bentuk pengenalan freshie kepada universiti termasuk pihak pentadbiran tertinggi, jabatan dan bahagian yang terlibat dengan hal ehwal pelajar sehinggalah kepada persatuan dan badan wakil pelajar. Dijalankan oleh pemudahcara mahasiswa yang dipilih dalam kalangan pelajar senior yang perlu melalui beberapa fasa latihan mengendalikan birokrasi dan pelajar, menjadikan MHS sebagai orientasi formal yang wajib dilalui oleh semua freshie pada minggu pertama kemasukan.

Minggu pengenalan fakulti akan berlangsung pada minggu kedua. Pelajar baru akan diberi pendedahan mengenai fakulti dan mengenali pihak pentadbiran dan senior fakulti. Sesi interaksi pada minggu pengenalan fakulti mungkin tidak memberikan senior ruang dan peluang yang mencukupi untuk 'bersuai kenal' dengan junior. Banyak lagi perkara yang mereka rasa perlu disampaikan kepada junior kesayangan mereka, maka diwujudkan satu lagi orientasi underground khas untuk interaksi senior-junior.

Saya cuba untuk meletakkan diri saya pada kedudukan neutral dalam penulisan ini supaya tidak bias kepada pihak yang menyetujui atau membangkak sekerasnya orientasi underground ini. 

Orientasi underground kebiasaannya akan melibatkan semua pelajar senior dan junior. Saya percaya objektif asal bagi mana-mana orientasi adalah untuk saling mengenali, sekurang-kurangnya mengetahui nama sesama mereka. Satu objektif yang baik!

Realitinya, orientasi yang dijalankan mungkin tidak seindah yang disangkakan, barangkali boleh menyimpang jauh daripada objektif asal mereka. Perlakuan dan budaya didalam orientasi mungkin dipengaruhi kefahaman agama masing-masing, budaya bangsa dan tahap rasional individu. 

Sesetengah orientasi boleh melibatkan perilaku yang tidak masuk akal dan kontra dengan norma budaya masyarakat. Ada juga yang melibatkan fizikal dan perlakuan berunsur seksual, yang merupakan salah satu bentuk tekanan mental; Ini dipanggil buli!

Orientasi underground adalah satu medium interaksi senior-junior yang sangat baik. Pada hemat saya, orientasi underground bukanlah sesuatu yang wajib, tetapi lebih baik jika ada, selagi mana tidak membelakangkan objektif utamanya.

Suasana orientasi underground pelajar perubatan tidak jauh berbeza daripada mana-mana fakulti lain di Universiti Malaya, yang terikat dengan blok perkauman. Cina-cina, India-India, Melayu-melayu dan tidak ketinggalan borneo-borneo.

Dalam fakulti perubatan, orientasi underground Chinese community(CC), Indian community(IC) dan Borneo community(BC) lebih menonjol berbanding Malay community(MC). Orientasi mereka lebih 'berat' dan mengutamakan senioriti-junioriti, manakala Malay community dilihat baru sahaja memulakan semula tradisi orientasi pada tahun ini setelah lima tahun dihentikan.

Berada dalam bidang profesional, lagi-lagi dalam bidang perubatan, menjadikan kita sebagai centre of attention , sering kali dijadikan bahan perbualan masyarakat, dijadikan contoh yang baik-baik atau dipandang tinggi oleh mereka yang dikaburi hakikat sebenar. Saya sedar doktor juga seorang manusia. Tuhan berikan kelebihan sedikit kepintaran berbanding orang lain, namun tuhan bagikan juga sifat-sifat mahmudah juga mazmumah. IQ yang tinggi tidak mencukupi menjadikan doktor sebagai kerjaya paling agung. Kepintaran perlulah disertai dengan EQ yang tinggi, maka tinggilah kewarasan dan rasionalnya sebagai seorang manusia, setinggi kemashuran yang diberikan oleh masyarakat.

Saya akui dan rasakan penulisan ini mungkin sedikit mengguris perasaan rakan-rakan sebidang, kalau tidak pun membuat diri sendiri terasa palitannya. Tidak semua orang mempunyai sikap yang baik. Tidak semua orang juga mempunyai level sukatan kebaikan yang sama. Cara kita melihat 'baik' mungkin berbeza. Tetapi sejauh mana berbeza pun, tetap tidak boleh lari dari norma masyarakat sekeliling. 

Orientasi seharusnya menjadi lapangan suai kenal antara senior dan junior. Hubungan baik antara senior-junior boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk, terutama dalam membina kesatuan dan bantuan dari segi akademik. Itu sepatutnya acuan orientasi yang terbaik. Bermanfaat lagi bermakna!

Dalam konteks orientasi yang dijalankan Malay community, seperti yang saya katakan sebelum ini, tidaklah saya membangkang sekeras-keras pelaksanaannya. Tetapi saya lebih melihat kepada keperluan, untuk apa diadakan orientasi untuk Malay community. 

Ini pertama kali diadakan setelah lima tahun dihentikan. Pada peringkat awal saya berpuas hati dengan objektif yang dibawa; mengeratkan hubungan senior-junior yang sekian lama terputus. Namun begitu ada beberapa perkara yang perlu diambil serius. Tidak semua senior memahami objektif utama orientasi ini. Sebahagian daripada senior menjalankan orientasi mengikut acuan mereka tersendiri, di pengaruhi dengan emosi dan pengalaman mereka semasa berada ditahun pertama. Perlu saya tekankan disini, zaman sudah berubah, masa sudah berlalu, pemikiran kita juga harus lebih terbuka dan rasional.

Saya faham, golongan senior ini mahu ajar adik-adiknya tentang hormat. Saya juga perlu sedarkan mereka bahawa 'Respect is something you earned, not asked' . Menggunakan paksaan untuk mendapat respect adalah satu kebodohan. Rasa hormat sepatutnya hadir dalam bentuk mutual ,ada yang memberi dengan sukarela dan ada yang menerima. Rasa hormat perlu ditunjukkan melalui teladan yang baik. 

Menyangka diri lebih baik dan mengharapkan orang lain memulakan usaha, hanyalah nama lain bagi ego. Setiap orang ada ego. Faham~. Namun tidak salah juga kita bersikap terbuka. Interaksi ini bukan satu hala. Interaksi ini melibatkan senior dan junior. Bukan junior sahaja perlu mengenali senior, tetapi senior juga perlu mengenali mereka. Maka usaha itu perlulah berjalan daripada dua-dua pihak. Tidak salah kita turunkan sedikit ego untuk satu hubungan terjalin erat. Manis!

Orientasi ini satu pendekatan yang baik, jika kena pengisiannya. Saya bukan cuba untuk bersikap perkauman atau kiasu terhadap bangsa sama jenis. Tetapi saya lebih merasakan ini satu keperluan demi mengimbangi kemampuan kita dan mempersiapkan diri untuk bercampur gaul dengan bangsa lain. Orientasi ini satu cara terbaik kita terapkan nilai yang baik kepada junior, sebagai contoh persepsi kita dalam penggunaan bahasa Inggeris. Melayu ini bukan tidak pandai berbahasa Inggeris. Malah jika dibandingkan dengan bangsa lain, pencapaian MUET kita boleh dikatakan sama hebat. Tetapi bila disuruh bercakap, sipu-sipu tergagap. Ini bukan mengherdik atau bangga diri. Saya juga masih belajar, memperbaiki sebutan dan menambah keyakinan bila bertutur bahasa Inggeris. Bukan mudah, tetapi tidak juga susah. Letakkan sedikit usaha dan istiqamah, pasti ada peningkatannya. 

Disebabkan kita terlalu selesa menjadi 'tuan' ditanah sendiri, kita hilang competency. Kita gagal untuk menonjolkan diri, gagal juga untuk berasimilasi, dengan bangsa lain. Maka jurang semakin jauh, impian melahirkan bangsa Malaysia semakin samar-samar. Bahasa penting untuk berkomunikasi, bahasa juga penting untuk bergaji tinggi. 

Saya secara individu tidak menolak sepenuhnya racial-based orientation, tetapi tidak pula bersetuju dengan hampir kesemua amalan dalam orientasi jenis ini. Saya seperti berjuta rakyat Malaysia yang lain, yang mempunyai cita-cita untuk melihat sebuah bangsa Malaysia setelah 58 tahun kemerdekaan. Visi saya tetap teguh untuk menyokong dan meneruskan mana-mana usaha membina sebuah bangsa Malaysia yang bersatu. Pada peringkat awal pembentukan ini, sebarang bentuk aktiviti yang melibatkan satu kaum perlu dielakkan dan memperbanyakkan aktiviti yang memberi ruang asimilasi dan akulturasi pelbagai bangsa.

 Saya perlu tekankan berkali-kali, saya tidaklah menolak secara total pelaksanaan orientasi underground ini. Malah saya akan menyokong mana-mana usaha yang dilakukan untuk mengeratkan hubungan senior-junior, janji bertepatan dengan objektif yang rasional dan terbuka, dan tidak juga membelakangkan visi pembinaan negara bangsa iaitu bangsa Malaysia terbina. 

p/s: penulisan ini lebih kepada pendapat peribadi penulis, dirangkum berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri.








0 comments:

Post a Comment