Sunday, 8 November 2015

KERAJAAN SUNNI - FAISAL TEHRANI SYIAH

Saya menjadi tertarik dengan penulisan ala-ala underground, sarkastik dan bersahaja setelah mengamati karya-karya Faizal Musa atau dikenali sebagai Faisal Tehrani. Syiah, liberal, sekular, sesat sudah menjadi hemburan kata yang biasa didengar untuk menggambarkan individu ini. Tidak kurang, ada yang berjaya mendedahkan rahsia nama penanya "Tehrani", berasal dari perkataan Tehran yang merupakan salah satu tempat di negara Iran, menepati dakwaan mereka tentang ke-syiah-an Faizal Musa. Faizal=Tehran=Syiah. Maka Faizal adalah syiah. Logik.

Dengan terdedahnya berita ini yang datangnya daripada hasil penyelidikan dan pemikiran orang-orang yang pakar dalam dedah-mendedahkan rahsia, akhirnya menjadi bukti kukuh kepada dakwaan mereka Faisal Tehrani seorang syiah yang menyokong liberalisme dan sekularisme di Malaysia, bumi sunni berdaulat. Orang seperti ini perlu ditentang habis-habisan. Karyanya jangan dibaca. Barangkali karyanya tidak lain menjadi medium dakwah Syiah, bagi menyesatkan golongan Sunni yang suci lagi bersih bak kain putih. Maka sesuatu perlu dilakukan kepada makhluk ini. Dia perlu di hukum atas perilakunya. Itu dosa besar. Lebih besar daripada Sunni yang membina kilang arak dan membenarkan judi halal yang haram, tetapi mengharamkan judi haram yang haram dijalankan di Malaysia, bumi Sunni berdaulat. Syiah kan mengajar pengikutnya yang darah Sunni adalah halal. Ini satu ancaman. Maka Sunni perlu menghalalkan apa sahaja cara untuk diambil tindakan kepada penganut Syiah di Malaysia. Jika Sunni menjadi pemerintah, maka gunakan kuasa dan undang-undangnya. Bersesuaian dengan perintah al-Quran, yang menyuruh kita mencegah kemungkaran dengan kuasa, lisan atau hati mengikut kemampuan.

Dalam karyanya, sebagai contoh cerpen-cerpen underground, ada memuatkan cerpen yang sarkastik dan bersifat mengkritik pemerintah. Ada kisah mama dan sang suami. Ada kisah suami dan jet kesayangannya. Ada juga kisah jenis-jenis salam yang pelbagai di Malaysia, sebagai contoh 'salam 1 Malaysia', yang menjadi kesukaan rakyat-rakyat Sunni. 

Ini tidak lain adalah satu penghinaan kepada pemerintah Sunni. Pantang pemerintah Sunni yang berketurunan Bugis di hina. Pasti tidak akan menyerah begitu sahaja. Mana boleh. Dia telah hina sebuah kerajaan Sunni yang telah memberi makan kepada rakyat jelata, yang membangunkan negara ini menjadi makmur, sehinggakan tidak ada satu pun rakyatnya yang kelaparan. Jika ada yang kelaparan pun itu rakyatnya yang Syiah. Biar sahajalah Syiah kelaparan. Syiah dan kemiskinan diharuskan. Apa pemerintah Sunni peduli. Sebuah kerajaan Sunni ini juga yang telah mengkurniakan cukai baharu kepada rakyatnya, ternyata sebuah cukai yang efisien seperti mesin vakum. Apalah sangat dicukai 6% demi kelangsungan ekonomi negera. Dulu lagi teruk. Semasa cukai SST, rakyat dikenakan 10% + 6%. Pada ketika itu rakyatnya tertindas kerana dicukai 16%. Kini kerajaan Sunni yang perihatin ini telah mengurangkan cukai sebanyak 10% menjadikan jumlah tercukai 6% sahaja. Tentu sahaja kehidupan rakyat semakin baik sekarang. Begitulah yang dikhabarkan oleh salah seorang menteri Sunni, yang dahulunya adalah timbalan menteri di jabatan perdana menteri, seterusnya menjadi timbalan menteri kewangan dan mempromosikan kelebihan GST sana-sini, dan kini menjadi timbalan menteri perdagangan. Benarkan? Manakan seorang menteri Sunni berbohong kepada rakyat Sunni. Jika terbohong pun kepada rakyatnya yang Syiah. Biar sahaja mereka tertipu.

Bukan itu sahaja. Jika mahu diceritakan kebaikan yang telah ditaburkan sebuah kerajaan Sunni ini pasti tidak habis 9 muka surat, perlu celik 9 hari 9 malam dengan 9 kopi sebagai penyegar, untuk menggambarkan betapa banyak jasa mereka. Kata seorang menteri Sunni, kerajaan sedang mendidik rakyatnya. Setelah puas memikirkan cara untuk mendidik rakyat Sunni untuk menjadi lebih kompiten, maka idea untuk mengimplimentasi kenaikan tol lebuh raya difikirkan cara terbaik. Pertama, mendidik rakyat bangun seawal jam 4 pagi untuk ke tempat kerja. Kedua, mendidik rakyat untuk banyakkan menderma kepada kerajaan dengan ikhlas. Nanti duit derma itu akan menjadi bajet tahun hadapan dan disalurkan kepada rakyat Sunni dalam bentuk BR1M sebagai tanda ehsan kerajaan Sunni dan semangat perngorbanan rakyat Sunni, bersesuaian dengan pepatah yang di sampaikan oleh ketua menteri Sunni berketurunan Bugis itu, "Jika tol tidak naik, manakan BR1M bergoyang(naik)" 

Kerajaan Sunni ini juga memahami aspirasi anak muda. Begitulah yang didakwa seorang menteri Sunni yang mengawal harga barang dan cukai. Untuk menunjukkan kerajaan bersama-sama dengan anak muda, kerajaan bersedia bersengkang mata di pejabat untuk mengkaji semula fatwa majlis fatwa kebangsaan. Dalam sebuah negara Sunni ini, sistem yang diguna pakai sangat sistematik. Untuk membuat keputusan yang benar-benar tepat, kerajaan ini mengadakan dua peringkat majlis fatwa. Satu majlis fatwa yang dianggotai ulama Sunni yang berpendidikan agama yang tinggi. Setelah satu keputusan diputuskan, ia akan di kaji semula oleh majlis fatwa yang lebih tinggi darjatnya. Majlis Fatwa Kabinet, yang dianggotai Jemaah kabinet Sunni yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai bidang. Jadi mana-mana keputusan yang tidak bersesuaian untuk menjaga kemaslahatan ummah terutama anak muda, yang penting sebagai pengundi tatkala PRU akan datang perlu ditimbang tara semula. Maaf silap tulis. Anak muda yang penting untuk masa hadapan negara yang lebih gilang-gemilang.

Maka apabila seorang syiah seperti Faisal Tehrani menghina kerajaan yang suci ini, secara langsung telah menghina kesyumulan ajaran Sunni. Dia harus dihukum. Karyanya harus disekat. Jangan sampai jatuh ketangan rakyat yang berhati suci. Nanti merosakkan mereka. Itu yang ditakuti kerajaan ini. Tidak mahu rakyatnya menjadi kotor dengan anasir jahat yang cuba menjatuhkan Malaysia dengan fahaman jahanam, ejen yahudi dan barat ini. Jika tidak mampu mengikat kaki dan tangan secara fizikal, sudah cukup ikat mindanya, sempitkan ruangnya dan hapuskan peluangnya untuk berkarya. Ini yang sewajarnya, mengikut piawaian Freedom of speech atau Human's right, yang menjadi amalan kerajaan Sunni sedia ada. Keputusan ini yang terbaik.

Apabila individu keparat seperti Faisal Tehrani tidak wujud lagi, maka semakin mudah usaha kerajaan untuk melaksanakan agenda mereka demi memakmurkan Malaysia, bumi Sunni berdaulat. Insyaallah! Maka berteriaklah rakyat Sunni sekalian yang menyanjung tinggi kerajaan mereka, "Takbir!!" , "Allahuakbar!" .


Related Posts:

  • KERAJAAN SUNNI - FAISAL TEHRANI SYIAHSaya menjadi tertarik dengan penulisan ala-ala underground, sarkastik dan bersahaja setelah mengamati karya-karya Faizal Musa atau dikenali sebagai Faisal Tehrani. Syiah, liberal, sekular, sesat sudah menjadi hemburan kata ya… Read More

0 comments:

Post a Comment