1. Pentas demokrasi Universiti Malaya akhirnya melabuhkan tirainya pada 17 September lalu dengan keputusan yang telah dijangkakan. Jentera Penggerak Mahasiswa, satu-satunya parti yang melibatkan diri dalam pilihan raya kampus pada sesi ini telah berjaya merampas 26 kerusi fakulti dan 6 kerusi umum. Selebihnya dimenangi oleh calon bebas yang bertanding dan satu kerusi dengan keputusan seri diantara calon mereka dan bebas di Fakulti Sastera dan Sains Sosial yang akan dijalankan pilihan raya sekali lagi.
2. Belum terlewat untuk saya ucapkan tahniah kepada siapapun yang telah berjaya dipilih atau terpilih untuk menjadi wakil pelajar mereka.
3. Keputusan seteru kuat Penggerak Mahasiswa iaitu Pro Mahasiswa UM untuk menarik diri daripada pilihan raya kampus menimbulkan banyak persoalan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Universiti Malaya sendiri.
4. Sememangnya keputusan ini memberi kesan besar kepada perjalanan politik kampus terutama di Universiti Malaya sendiri.
5. Saya terpanggil untuk meneliti kemungkinan faktor yang menyebabkan keputusan drastik sebegini dibuat dan implikasinya kepada suasana politik kampus.
6. Sebelum saya memulakan penulisan ini, adalah baik untuk saya menjelaskan bahawa kedudukan saya sebagai pemerhati bebas dan tidak terikat kepada mana-mana parti. Saya akui bahawa saya merupakan wakil pelajar Fakulti Perubatan yang bertanding menggunakan tiket Pro-Mahasiswa UM pada sesi lepas. Kredibiliti saya mungkin diragui kerana berkemungkinan penulisan saya akan tercenderung mengangkat sebelah pihak. Setiap orang mempunyai prinsip tersendiri. Saya mengangkat prinsip untuk lebih terbuka, tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan menjulang kebenaran, tidak kira ia datang dari pihak manapun. Saya juga mahukan masyarakat terbuka menerima apa jua pandangan dan menolak pemikiran partisan sempit.
7. Saban tahun menjelang pilihan raya diadakan akan memperlihatkan dua parti paling dominan iaitu Penggerak Mahasiswa dan Pro-Mahasiswa memeriahkan pentas demokrasi ini. Corak suasana politik sebegini sudah menjadi kebiasaan dan diterima pakai oleh mahasiswa.
8. Perunduran jentera Pro-Mahasiswa dari pentas demokrasi pada kali ini berkemungkinan atas beberapa faktor dalaman dan luaran.
9. Peraturan pilihan raya kampus pada tahun ini buat pertama kalinya telah diubah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan diselaraskan di semua Universiti Awam. Sebelum ini, pengurusan universiti diberi autonomi untuk melaksanakan pilihan raya kampus pada tarikh yang bersesuaian dan wakil pelajar yang terpilih diberi tempoh selama setahun atau dua semester untuk melaksanakan agenda mahasiswa yang telah dirancang.
10. Pilihan raya kampus perlu diadakan dalam tempoh 45 hari selepas kemasukan pelajar pada setiap tahun.
11. Tindakan Kementerian menyelaras tarikh pilihan raya adalah satu tindakan drastik bagi mengawal politik kampus yang dilihat sebelum ini dikuasai oleh kelompok mahasiswa yang keras mengkritik dasar kerajaan. Penyelarasan tarikh ini cukup memberikan impak besar kepada gerak kerja jentera Pro-Mahasiswa dalam mengatur strategi politik mereka. Dalam kata lain, Pro-Mahasiswa dilihat kurang bersedia untuk menghadapi pilihan raya memandangkan ini pertama kali diadakan selepas perubahan peraturan dibuat.
12. Dalam perubahan drastik yang dilakukan, Penggerak Mahasiswa dilihat lebih bersedia dalam gerak kerja mereka dengan strategi yang lebih tersusun. Pencarian calon yang bakal bertanding juga telah dilakukan lebih awal membuatkan persiapan persediaan jentera dan calon berjalan dengan baik dan teratur. Faktor kesediaan mereka menghadapi pilihan raya kampus kali ini tidak dapat dipastikan. Sebahagian pemerhati politik kampus berpendapat, ia didorong oleh kebersediaan mereka menghadapi PRK setelah berehat selama empat tahun daripada pimpinan PMUM akibat kekalahan mereka kepada Pro-Mahasiswa. Selain itu juga kemenangan mereka juga mungkin disebabkan status mereka sebagai gerakan mahasiswa Pro-establishment yang mempunyai hubungan baik dengan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan mendapat manfaat secara langsung daripada hubungan itu seperti mengetahui lebih awal mengenai perubahan ini dan penglibatan mereka secara langsung dalam Minggu Haluan Siswa(MHS) dan pimpinan kolej kediaman memberikan mereka peluang yang lebih banyak berinteraksi dengan mahasiswa terutama mahasiswa baru tahun pertama.
13. Selain ketidaksediaan jentera Pro-Mahasiswa menghadapi perubahan dalam peraturan PRK, ada beberapa faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusan yang dibuat. Perpecahan dalam pimpinan Pro-Mahasiswa sendiri dilihat menjadi punca gerak kerja mereka tergendala. Sebahagian pimpinan dilihat tidak bersefahaman dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan parti.
14. Pro-Mahasiswa UM merupakan sebuah parti politik kampus yang cukup gah dalam dunia aktivisme mahasiswa. Sebahagian besar pimpinan Pro-Mahasiswa UM terlibat secara langsung mengendali, menganjur dan mengetuai gerakan aktivis mahasiswa lain dalam memperjuangkan perihal mahasiswa dan rakyat Malaysia. Mereka juga dilihat cukup vokal dalam menyuarakan pendapat dan cakna dalam mendepani isu semasa dalam negara. Berikutan kesibukan mereka dalam memberi respon kepada isu semasa negara seperti skandal 1MDB, mereka tidak dapat memberikan fokus penuh dalam menghadapi pilihan raya kampus.
15. Setiap tahun pimpinan Pro-Mahasiswa UM akan bertukar ganti. Yang lama akan digantikan dengan muka-muka baru. Perubahan ini baik dalam konteks memberikan peluang kepada generasi baru menggerakkan jentera dengan cara baru yang lebih baik. Tetapi kita juga perlu sedar bahawa penukaran ini juga bermakna kita memberi tanggungjawab gerak kerja politik kepada orang baru, yang mungkin kurang berpengalaman atau tidak bijak dalam merencana gerak kerja mereka. Pada pendapat saya, berkemungkinan pimpinan baru Pro-Mahasiswa tidak dicukupkan dengan pengalaman dan ilmu dalam menghadapi asam garam politik kampus terutama di Universiti Malaya.
16. Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakan diatas, saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan yang dibuat ini adalah atas faktor strategi baru politik Pro-Mahasiswa UM. Mereka telah menguasai PMUM selama empat penggal semenjak sesi 2011/12. Tindakan menarik diri dalam pilihan raya kampus mungkin boleh dikatakan sebagai set point untuk mereka menilai semula setiap gerak kerja mereka selama empat penggal itu dan menstruktur semula strategi politik dengan membawa idea-idea baru yang lebih baik bagi menghadapi sekatan-sekatan yang dilakukan oleh HEPA untuk menghadkan gerakan mahasiswa berhaluan kiri.
17. Membuat keputusan menarik diri dalam pilihan raya kampus pada sesi ini merupakan satu keputusan yang penting dalam mencorak proses demokrasi kampus. Keputusan ini akan terlakar didalam sejarah perjalanan politik kampus dan negara.
18. Secara tidak langsung tindakan mereka memberikan impak yang besar yang melibatkan suasana dalam kampus dan juga diluar kampus.
19. Merujuk kepada penulisan saya sebelum ini mengenai PRK UM, saya telah menjelaskan bahawa ketiadaan Pro-Mahasiswa telah membuka jalan kepada third force untuk turut terlibat dalam pilihan raya kampus. Pada kali ini, muncul beberapa muka baru dalam pentas demokrasi, antaranya Harmoni daripada Ikram Siswa, PEMBINA dan beberapa calon bebas telah memeriahkan lagi suasana politik UM. Penglibatan mereka secara tidak langsung memberikan pilihan yang lebih banyak kepada mahasiswa dalam memilih wakil pelajar mereka yang mungkin lebih baik daripada calon partisan. Penglibatan lebih banyak calon bebas dan third force ini juga dilihat sebagai satu langkah yang perlu diteruskan bagi mengubah suasana politik partisan yang melampau dan merosakkan.
20. Ketiadaan Pro-Mahasiswa dalam PRK telah memberi jalan mudah kepada Penggerak Mahasiswa untuk menguasai PMUM. Kemenangan mereka telah disalahgunakan oleh parti politik luar untuk menunjukkan sokongan mahasiswa kepada parti tertentu. Berikutan kenyataan DS Najib yang menyifatkan bahawa beliau mendapat sokongan dan semakin diterima oleh mahasiswa disebabkan kemenangan Aspirasi@Penggerak Mahasiswa mungkin menguatkan lagi sangkaan sesetengah pihak yang menggelarkan mereka sebagai UMNO kampus disebabkan hubungan parti pemerintah dengan parti Pro-establishment dikampus.
21. Sebahagian besar mahasiswa menyambut baik keputusan Pro-Mahasiswa untuk terus menarik diri daripada PRK pada kali ini adalah satu simbolik menolak segala bentuk campur tangan Kementerian Pendidikan yang dikawal oleh parti pemerintah dalam pengurusan universiti, manakala sebahagian yang lain juga berpendapat bahawa usaha menguasai PMUM adalah satu usaha yang sia-sia disebabkan sekatan terhadap autonomi mahasiswa yang dilakukan oleh HEPA yang dipercayai atas arahan pihak berkepentingan.
22. Pro-Mahasiswa atau Penggerak Mahasiswa, kedua-duanya adalah gerakan yang mendepani isu-isu mahasiswa. Walaupun wujudnya perbezaan ideologi diantara dua parti ini, perjuangan yang dipegang oleh kedua-dua parti ini untuk membawa suara mahasiswa perlu diteruskan.
23. Suasana politik kampus akan mencerminkan suasana politik negara pada masa akan datang. Kita tidak mahu meneruskan amalan politik yang tidak sihat yang dilakukan oleh ahli politik sediada. Maka perubahan itu perlu dilakukan dari dalam kampus sendiri. Wujudnya parti politik yang berbeza tidak bermakna akan berlaku perpecahan yang lebih parah. Perbezaan ini perlu dirai dan dijadikan medium timbal balik dalam membuat sebarang keputusan untuk dapatan yang lebih baik.
p/s: Penulisan ini hanyalah pendapat saya, yang sebahagiannya diperolehindaripada pemerhatian dan pengalaman sendiri terlibat secara langsung dalam politik kampus.
0 comments:
Post a Comment