Thursday, 17 September 2015

Hari Malaysia: Hala tuju dan Cita-cita

1. 58 tahun kemerdekaan Tanah Melayu dan 52 tahun pembentukan sebuah gagasan Malaysia hasil gabungan semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Dalam satu tempoh lebih separuh dekad ini, banyak perkara yang sudah kita kecapi. Dari sebuah tanah yang dijajah sehingga sebuah negara yang berdaulat, dari penstrukturan ekonomi yang kacau-bilau sehinggalah kepada sebuah dasar ekonomi yang liberal.

2. Dalam tempoh masa ini juga kita dapat lihat lima orang peneraju negara bersilih ganti, meninggalkan warisan dasar pembangunan negara kepada generasi penerus, yang setiap satunya mempunyai jasa tersendiri dalam membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

3. Perubahan ini merangkumi dasar ekonomi yang dipengaruhi ideologi mereka yang memerintah, dari pemimpin aristokrat berjiwa nasionalis berubah kepada pembawaan nilai-nilai liberalisasi ekonomi dan amalan kronisme dan nepotisme di dalam pemerintahan negara. 

4. Namun, realitinya dalam tempoh ini, tidak semua perkara indah-indah belaka seperti mana yang dilaungkan oleh parti pemerintah. Kita perlu sedar bahawa tidak semua dasar yang dilaksananakan membawa kesan yang baik kepada pembentukan sebuah negara Malaysia. Malah sebahagian besar dasar yang dibawa dipengaruhi oleh dasar parti pemerintah dan amalan yang diterapkan dalam kalangan pemimpin mereka yang terdahulu. 

5. Sebahagian besar dasar pembentukan negara di cetuskan mengikut selera parti pemerintah, tanpa memikirkan isi hati rakyat. Dasar yang dibawa oleh parti pemerintah adalah copy dari sistem pemerintahan British, dasar pecah dan perintah. UMNO untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India. Pembawaan seperti ini sudah tidak relevan dan tidak boleh diterima pakai dalam mewujudkan bangsa Malaysia dan membina perpaduan rakyat. 

6. Hakikatnya, parti yang berasaskan kaum ini tidak lain hanyalah sebagai senjata politik bagi mereka yang takut kehilangan kuasa memerintah. Isu bangsa dan agama sering dijual agar mereka kekal berkuasa, dalam masa yang sama setiap tindakan mereka tidak mencerminkan apa yang dilaungkan. 

7. Kesannya, sehingga kini kita gagal membina sebuah bangsa Malaysia, semangat perkauman semakin menebal dan apatah lagi rakyat semakin jauh dengan kefahaman hidup beragama yang sebenar. Negara jiran yang merdeka sedikit lewat daripada kita sudahpun menuju kearah itu. Namun Malaysia masih berada di takuk yang sama setelah lebih 58 tahun mencapai kemerdekaan.

8. Matlamat akhir pembentukan sebuah negara bangsa adalah membina sebuah bangsa yang bukan berasaskan kaum, warna kulit atau bahasa ibunda, tetapi sebuah bangsa yang berasaskan semangat kenegaraan dan cintakan perpaduan. Sebuah bangsa yang hidup harmoni bersama, saling menghormati perbezaan dan mengamalkan nilai kehidupan yang baik dibawah satu naungan perlembagaan dan rukun negara yang sama.

9. Rakyat Malaysia boleh dikatogerikan kepada beberapa kelompok berdasarkan generasi dan mentaliti. Secara lazimnya, saya katogerikan mereka kepada generasi terdahulu dan generasi muda. Cara pemikiran dua golongan ini berbeza atas faktor pengalaman dan pendedahan pada persekitaran dan zaman yang berbeza. 

10. Dalam konteks perpaduan dan pembinaan sebuah bangsa Malaysia, generasi muda lebih terbuka mahukan satu perubahan dilakukan demi masa depan negara yang sejahtera. Mereka tidak mahu hidup didalam sebuah negara yang memiliki terlalu banyak perbezaan dan wujud pertelingkahan akibat perbezaan itu. Sebahagian mereka juga sudah letih dengan isu perkauman yang ditunjangi parti politik dan diskriminasi hak kewarganegaraan seperti tiada penghujungnya. 

11. Perpaduan merupakan perkara dasar yang perlu diselesaikan untuk menuju kepada status negara maju. Dengan adanya perpaduan, maka tidak akan ada konflik dalam menentukan dasar kerajaan tidak kira dari segi ekonomi mahupun pendidikan.

12. Rakyat Malaysia sudah biasa dipecahkan dengan terminologi bumiputera dan bukan bumiputera dalam penstrukturan dasar kerajaan. Bukankah lebih baik jika kategorikan mereka mengikut status sosioekonomi dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan adil.

13. Rakyat Malaysia perlu ada hala tuju yang sama. Dalam konteks pembinaan negara bangsa, setiap daripada kita wajib menyokong segala usaha yang membawa kepada pembentukan sebuah bangsa Malaysia dan menolak segala bentuk usaha yang memecahbelahkan perpaduan ini. Perbezaan perlu  dihormati dan persamaan perlu dirai oleh semua orang.

14. Saya mengimpikan untuk melihat Malaysia sebagai satu entiti. Tidak ada yang membezakan kita melainkan warna kulit dan pegangan agama. Saya sentiasa berharap generasi penerus dan bakal pemimpin supaya lebih memfokuskan pada usaha membawa perpaduan dan keharmonian dalam Malaysia.

Saya sayang Malaysia!


0 comments:

Post a Comment