Tahun ini merupakan tahun pertama pelaksanaan dasar/peraturan baru pilihan raya kampus oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Setiap kampus memperlihatkan pertembungan hebat antara dua parti pelajar yang dominan iaitu Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa. Suasana politik UM yang saban tahun dinanti-nantikan perkembangannya oleh seluruh rakyat Malaysia juga tidak kurang hangatnya.
Pro Mahasiswa telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan boikot pilihan raya kampus. Adakah ini bermakna sistem demokrasi di kampus akan mati? Tidak!
Ketiadaan jentera Pro Mahasiswa dalam gelanggang demokrasi pada tahun ini, telah menyebabkan kemunculan kuasa baru yang lahir daripada mahasiswa sendiri atas tiket bebas tanpa keterikatan dengan mana-mana parti politik sebagai 'third force', sekaligus menghangatkan lagi suasana politik kampus di UM dengan memberi mahasiswa pilihan baru, yang mungkin lebih baik dari calon partisan atau sebaliknya.
Memandangkan Pro Mahasiswa tidak bertanding, secara jujur saya cukup tertarik dengan slogan yang dibawa oleh wadah Penggerak Mahasiswa pada tahun ini, #UniteForChange . 'Unite' itu sendiri adalah satu perkataan yang cukup powerful, kerana kesatuan itulah yang dinantikan-nantikan oleh mahasiswa yang sudah muak dibelenggu permainan politik tidak bermoral oleh golongan partisan di mana-mana kampus sekalipun . Apatah lagi apabila perkataan 'unite' itu digandingkan dengan satu lagi perkataan yang jika kita amati ia adalah objektif utama yang dikongsi oleh mana-mana parti atau calon 'third force' iaitu 'ForChange'. Jadi jika ia menjadi satu frasa, #UniteForChange merupakan satu frasa yang membawa idea atau satu agenda perubahan dan asas kepada perjuangan mahasiswa yang WAJIB disokong sekiranya ia bukanlah hanya sekadar retorik permainan politik partisan.
Politik kampus tidak boleh dipengaruhi suasana politik semasa negara. Kita tidak menolak kemungkinan wujud hubungan antara parti atau mahasiswa sendiri dengan parti atau ahli politik luar. Namun begitu, sebagai pemimpin mahasiswa kita perlu merubah suasana politik negara yang kian tenggelam dengan semangat partisan yang sebahagian besar tidak membawa faedah kepada pembangunan negara, jika tidak kita hanya akan meneruskan kitaran suasana politik yang tidak sihat yang ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu.
Dalam konteks politik kampus, terutamanya di Universiti Malaya, saya juga antara ribuan mahasiswa yang mengharapkan perubahan terus dilakukan demi kebaikan universiti dan negara. Pilihan raya perlu dijalankan secara adil dan setiap calon yang bertanding perlu diberikan peluang dan pentas yang sama rata, tidak kira pro-establishment, anti-establishment atau bebas sekalipun. Di luar, sebahagian besar rakyat sudah muak dengan permainan politik berat sebelah oleh parti pemerintah. Saya maklum bahawa antara formula negara maju adalah pegangan kerajaan kepada jabatan kerajaan, sektor awam, media arus perdana, institusi pendidikan dan badan penguatkuasa bagi mengawal setiap gerak kerja dan menjamin kelangsuangan setiap dasar dan polisi kerajaan. Namun yang menjadi punca kegagalan pegangan ini adalah ketidakcekapan dan kurang kebijaksanaan kerajaan dalam menangani isu negara dan rakyat. Akhirnya pegangan kuasa ini disalahgunakan sehingga dijadikan alat untuk mengekalkan kuasa mereka dan mengelakkan dari di persalahkan atas kerosakan yang dilakukan selama ini. Sistem ini juga memberi kesan langsung dalam institusi pendidikan, dimana kerajaan meletakkan orang yang berkepentingan dalam posisi tertinggi pentadbiran universiti bagi mengekalkan kuasa mereka di peringkat mahasiswa lagi. Hal ini bertambah buruk apabila pentadbir universiti bertindak seperti mana kerajaan sedia ada bagi menghalang kelompok mahasiswa berhaluan kiri. Situasi sebegini seolah-olah 'copy paste' apa yang berlaku dalam negara dan akhirnya politik tidak sihat inilah yang akan diwarisi oleh generasi pemimpin seterusnya.
Jika ditanya kepada saya perubahan apa yang mahasiswa nantikan, saya berpendapat, gerakan mahasiswa kampus terutama di Universiti Malaya perlu memperjuangkan sistem yang adil dan telus, peluang yang sama rata dan menolak semangat partisan yang keterlaluan sehingga membelakangkan kebenaran dan kesatuan suara mahasiswa. Jika tidak laungan kesatuan dan perubahan itu hanyalah sekadar retorik tatkala musim pilihan raya kampus.
p/s: penulisan ini hanyalah sekadar pandangan saya mengenai suasana politik negara dan kampus terutamanya di Universiti Malaya. Sebahagian daripada penulisan ini juga adalah atas pengalaman sendiri terlibat secara langsung dalam politik kampus.
****************petikan sajak Negeri Haha Hihi oleh Gus Mus************
Banyak yang terus pamer kebodohan dengan keangkuhan yang menggelikan
Banyak yang terur pamer keberanian dengan kebodohan yang mengharukan
Banyak yang terus pamer kekerdilan dengan teriakan memilukan
Banyak yang terus pamer kepengecutan dengan lagak yang memuakkan
hahaha penegak keadilan jalannya miring Penuntut
keadilan kepalanya pusing
Hakim main mata dengan maling
Wakil rakyat baunya pesing hihihihi
kalian jual janji – janji untuk menebus kepentingan sendiri
kalian hafal pepatah produktif untuk mengelabui mereka yang tertindih
Pepatah petitih
****************************************************************
0 comments:
Post a Comment