This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Saturday, 21 November 2015

[CERPEN 1] ZEXTER - KISAH SI PENAKLUK DUNIA

Eugenik.

Zexter seorang diktaktor. Keazamannya untuk mengawal dunia tidak pernah padam. Semakin lama dia melihat dunia, semakin membuak keinginannya untuk meletakkan dunia didalam genggamannya.

Bagi dia dunia adalah tempat yang paling menguntungkan, bagi yang tahu. Namun tidak ramai yang tahu. Asbab Zexter ingin mengawal dunia bukanlah kerana kesenangan yang bakal diperoleh. Tetapi cinta. Dia ingin mengerti makna cinta, dengan mengawal dunia. 

Dia sudah lama memusuhi cinta. Semua yang dikaitkan dengan cinta itu sungguh jelik. Dia tidak suka drama-drama cinta; suamiku encik sotong, suamiku ustaz, suamiku pilot. Sial semua itu. Dia juga tidak suka novel cinta, yang bermodalkan fantasi, lalu mencemarkan pemikiran manusia dengan sesuatu yang tidak nyata. Dia juga menjadi muak, apabila manusia mengungkapkan kata-kata cinta pada pasangan mereka tanpa mencapai erti sebenar cinta dalam bait kata-kata mereka. Kata-kata kosong sama sahajalah seperti kata-kata ahli politik. Janji semanis cadbury, tapi semuanya macam babi.

Zexter si sang penguasa sudah lama memulakan gerakannya untuk menakluk dunia. Kebenciannya kepada cinta sudah lama berakar menjadi mekar dalam hatinya. Cinta itu sudah tidak wujud lagi. Yang tinggal hanyalah kebencian pada cinta. 

Sudah beberapa kali percubaan dibuat untuk mencapai hasrat Zexter. Tetapi semuanya gagal. Manusia memiliki 'defense system' yang kuat. Tidak mudah untuk ditembusi. Lagi sukar untuk dipengaruhi. 

Yang pertama, Zexter menggunakan cecair Retroviral. Disebarkan secara  rambang kepada kelompok manusia. Pada mulanya rancangan ini hampir berjaya. Apabila manusia menjalinkan cinta, mereka lupa memakai 'pelindungan'. Akhirnya seorang terjangkit, lalu dua orang, seterusnya tiga orang, dan kini berjuta orang. Retroviral sangat jijik. Cairan nanah itu sudah cukup membuatkan manusia muntah kering tidak berisi. Lalu yang menjalin cinta saling membenci, menjauhi dan akhirnya berpisah. Semua kerana jangkitan Retroviral. Tetapi kejayaan ini hanya sementara. Kira-kira 50 tahun sahaja. Manusia sudah mula menyedari kepentingan 'pelindungan' dan cinta. Yang sakit tidak perlu dibenci. Yang perlu dibenci adalah penyakit. Ya, Retroviral pula dibenci manusia. Semakin lama manusia semakin sedar. 'Pelindungan' sudah dipakai, benci sudah bertukar simpati dan akhirnya membentuk semula cinta. Maka rancangan ini gagal. 

Zexter tidak berputus asa, walaupun usahanya selama 50 tahun ini gagal. Tetapi beliau mempelajari sesuatu. Kegagalan itu bukanlah sepenuhnya gagal. Ada juga saat dimana Zexter menikmati kemenangan.

Seterusnya Zexter melancarkan kempen fitnah. Mula-mula satu fitnah ditaburkan. Seterusnya dua, tiga, empat dan kini berjuta fitnah sudah berkeliaran dalam kelompok manusia. Fitnah adalah senjata yang paling canggih lagi berkesan pada Zexter. Hanya bermodalkan kata-kata palsu, ditukar menjadi seolah-seolah benar, lalu disebarkan kepada manusia yang memilki dengki, ditukar menjadi kebencian. Sekali lagi cinta cuba dihapuskan melalui fitnah dan kebencian. Sangkaan Zexter memang benar. Dunia semakin porak peranda. Fitnah tidak mudah lenyap. Sekali dilepaskan, berkurun berkitaran dari satu manusia kepada manusia yang lain. Daripada fitnah terjadi peperangan, perpecahan dan pergolakan. Zexter ketawa besar melepaskan kegembiraannya. Masa berlalu pantas. Fitnah sudah berleluasa hampir 100 tahun. Kebencian sudah disemai elok dalam diri manusia. Tetapi sesuatu berlaku lagi. Manusia yang kuat pegangan ketuhanannya tidak mudah dipengaruhi fitnah Zexter. Mereka terlalu kebal. Akal mereka sukar ditembusi, tiada ruang lagi untuk diisi dengan fitnah. Semuanya dipenuhi dengan tuhan. Tuhan itu maha besar. Cukup besar memuatkan akal manusia, bagi yang mengingati tuhan. 

Manusia sudah mula mengisi akal mereka dengan tuhan. Fitnah sudah lagi tidak berkesan. Zexter gagal pada akhir tahun ke-100. Zexter sedikit tercabar, namun tidak berputus asa. Zexter mula mengorak langkah seterusnya. Misinya untuk mengawal dunia ternyata bukan misi yang mudah. Tetapi keazaman Zexter cukup tinggi untuk meneruskan agendanya.

Kali ini Zexter mendapat idea baru, yang lain dari sebelumnya. Zexter ingin mengawal minda manusia. Fantasi! Zexter tahu fantasi adalah jawapannya. Zexter ingin mencipta dunia yang tidak wujud, lalu disebarkan kepada manusia. Manusia mudah terpengaruh dengan sesuatu yang tidak wujud. Manusia suka mengimpikan yang indah-indah sahaja. Fantasi adalah cara yang berkesan. Biarkan pemikiran manusia berlegar dalam ruangan yang tidak nyata itu. Jangan diciptakan pintu, supaya mereka terperangkap, tidak boleh menemui jalan keluar. Dalam ruangan itu dipenuhi cinta, keseronokan, keindahan dunia dan lain-lain lagi yang indah-indah belaka. Manusia tidak akan sedar walaupun ia hanya sebuah fantasi. Yang mereka inginkan adalah keindahan sahaja. Biarkan mereka menikmati keseronokan yang tidak nyata itu. Apabila sekali merasakan keseronokan, jiwa mereka akan ketagih, inginkan keseronokan lagi dan lagi. Lihat! Zexter sudah berjaya. Zexter mencapai hasratnya untuk mengawal dunia dengan mengawal minda manusia, dibiarkan dalam dunia tidak nyata. 

Fantasi adalah dunia yang dicipta oleh Zexter, dan manusia sudah lama bergelumang terperangkap disitu. Tidak nyata!

Sesungguhnya Zexter memang seorang diktaktor. Si penakluk dunia.

Jadi siapa yang masih tinggal didunia yang nyata? Zexter? 


Sunday, 8 November 2015

KERAJAAN SUNNI - FAISAL TEHRANI SYIAH

Saya menjadi tertarik dengan penulisan ala-ala underground, sarkastik dan bersahaja setelah mengamati karya-karya Faizal Musa atau dikenali sebagai Faisal Tehrani. Syiah, liberal, sekular, sesat sudah menjadi hemburan kata yang biasa didengar untuk menggambarkan individu ini. Tidak kurang, ada yang berjaya mendedahkan rahsia nama penanya "Tehrani", berasal dari perkataan Tehran yang merupakan salah satu tempat di negara Iran, menepati dakwaan mereka tentang ke-syiah-an Faizal Musa. Faizal=Tehran=Syiah. Maka Faizal adalah syiah. Logik.

Dengan terdedahnya berita ini yang datangnya daripada hasil penyelidikan dan pemikiran orang-orang yang pakar dalam dedah-mendedahkan rahsia, akhirnya menjadi bukti kukuh kepada dakwaan mereka Faisal Tehrani seorang syiah yang menyokong liberalisme dan sekularisme di Malaysia, bumi sunni berdaulat. Orang seperti ini perlu ditentang habis-habisan. Karyanya jangan dibaca. Barangkali karyanya tidak lain menjadi medium dakwah Syiah, bagi menyesatkan golongan Sunni yang suci lagi bersih bak kain putih. Maka sesuatu perlu dilakukan kepada makhluk ini. Dia perlu di hukum atas perilakunya. Itu dosa besar. Lebih besar daripada Sunni yang membina kilang arak dan membenarkan judi halal yang haram, tetapi mengharamkan judi haram yang haram dijalankan di Malaysia, bumi Sunni berdaulat. Syiah kan mengajar pengikutnya yang darah Sunni adalah halal. Ini satu ancaman. Maka Sunni perlu menghalalkan apa sahaja cara untuk diambil tindakan kepada penganut Syiah di Malaysia. Jika Sunni menjadi pemerintah, maka gunakan kuasa dan undang-undangnya. Bersesuaian dengan perintah al-Quran, yang menyuruh kita mencegah kemungkaran dengan kuasa, lisan atau hati mengikut kemampuan.

Dalam karyanya, sebagai contoh cerpen-cerpen underground, ada memuatkan cerpen yang sarkastik dan bersifat mengkritik pemerintah. Ada kisah mama dan sang suami. Ada kisah suami dan jet kesayangannya. Ada juga kisah jenis-jenis salam yang pelbagai di Malaysia, sebagai contoh 'salam 1 Malaysia', yang menjadi kesukaan rakyat-rakyat Sunni. 

Ini tidak lain adalah satu penghinaan kepada pemerintah Sunni. Pantang pemerintah Sunni yang berketurunan Bugis di hina. Pasti tidak akan menyerah begitu sahaja. Mana boleh. Dia telah hina sebuah kerajaan Sunni yang telah memberi makan kepada rakyat jelata, yang membangunkan negara ini menjadi makmur, sehinggakan tidak ada satu pun rakyatnya yang kelaparan. Jika ada yang kelaparan pun itu rakyatnya yang Syiah. Biar sahajalah Syiah kelaparan. Syiah dan kemiskinan diharuskan. Apa pemerintah Sunni peduli. Sebuah kerajaan Sunni ini juga yang telah mengkurniakan cukai baharu kepada rakyatnya, ternyata sebuah cukai yang efisien seperti mesin vakum. Apalah sangat dicukai 6% demi kelangsungan ekonomi negera. Dulu lagi teruk. Semasa cukai SST, rakyat dikenakan 10% + 6%. Pada ketika itu rakyatnya tertindas kerana dicukai 16%. Kini kerajaan Sunni yang perihatin ini telah mengurangkan cukai sebanyak 10% menjadikan jumlah tercukai 6% sahaja. Tentu sahaja kehidupan rakyat semakin baik sekarang. Begitulah yang dikhabarkan oleh salah seorang menteri Sunni, yang dahulunya adalah timbalan menteri di jabatan perdana menteri, seterusnya menjadi timbalan menteri kewangan dan mempromosikan kelebihan GST sana-sini, dan kini menjadi timbalan menteri perdagangan. Benarkan? Manakan seorang menteri Sunni berbohong kepada rakyat Sunni. Jika terbohong pun kepada rakyatnya yang Syiah. Biar sahaja mereka tertipu.

Bukan itu sahaja. Jika mahu diceritakan kebaikan yang telah ditaburkan sebuah kerajaan Sunni ini pasti tidak habis 9 muka surat, perlu celik 9 hari 9 malam dengan 9 kopi sebagai penyegar, untuk menggambarkan betapa banyak jasa mereka. Kata seorang menteri Sunni, kerajaan sedang mendidik rakyatnya. Setelah puas memikirkan cara untuk mendidik rakyat Sunni untuk menjadi lebih kompiten, maka idea untuk mengimplimentasi kenaikan tol lebuh raya difikirkan cara terbaik. Pertama, mendidik rakyat bangun seawal jam 4 pagi untuk ke tempat kerja. Kedua, mendidik rakyat untuk banyakkan menderma kepada kerajaan dengan ikhlas. Nanti duit derma itu akan menjadi bajet tahun hadapan dan disalurkan kepada rakyat Sunni dalam bentuk BR1M sebagai tanda ehsan kerajaan Sunni dan semangat perngorbanan rakyat Sunni, bersesuaian dengan pepatah yang di sampaikan oleh ketua menteri Sunni berketurunan Bugis itu, "Jika tol tidak naik, manakan BR1M bergoyang(naik)" 

Kerajaan Sunni ini juga memahami aspirasi anak muda. Begitulah yang didakwa seorang menteri Sunni yang mengawal harga barang dan cukai. Untuk menunjukkan kerajaan bersama-sama dengan anak muda, kerajaan bersedia bersengkang mata di pejabat untuk mengkaji semula fatwa majlis fatwa kebangsaan. Dalam sebuah negara Sunni ini, sistem yang diguna pakai sangat sistematik. Untuk membuat keputusan yang benar-benar tepat, kerajaan ini mengadakan dua peringkat majlis fatwa. Satu majlis fatwa yang dianggotai ulama Sunni yang berpendidikan agama yang tinggi. Setelah satu keputusan diputuskan, ia akan di kaji semula oleh majlis fatwa yang lebih tinggi darjatnya. Majlis Fatwa Kabinet, yang dianggotai Jemaah kabinet Sunni yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai bidang. Jadi mana-mana keputusan yang tidak bersesuaian untuk menjaga kemaslahatan ummah terutama anak muda, yang penting sebagai pengundi tatkala PRU akan datang perlu ditimbang tara semula. Maaf silap tulis. Anak muda yang penting untuk masa hadapan negara yang lebih gilang-gemilang.

Maka apabila seorang syiah seperti Faisal Tehrani menghina kerajaan yang suci ini, secara langsung telah menghina kesyumulan ajaran Sunni. Dia harus dihukum. Karyanya harus disekat. Jangan sampai jatuh ketangan rakyat yang berhati suci. Nanti merosakkan mereka. Itu yang ditakuti kerajaan ini. Tidak mahu rakyatnya menjadi kotor dengan anasir jahat yang cuba menjatuhkan Malaysia dengan fahaman jahanam, ejen yahudi dan barat ini. Jika tidak mampu mengikat kaki dan tangan secara fizikal, sudah cukup ikat mindanya, sempitkan ruangnya dan hapuskan peluangnya untuk berkarya. Ini yang sewajarnya, mengikut piawaian Freedom of speech atau Human's right, yang menjadi amalan kerajaan Sunni sedia ada. Keputusan ini yang terbaik.

Apabila individu keparat seperti Faisal Tehrani tidak wujud lagi, maka semakin mudah usaha kerajaan untuk melaksanakan agenda mereka demi memakmurkan Malaysia, bumi Sunni berdaulat. Insyaallah! Maka berteriaklah rakyat Sunni sekalian yang menyanjung tinggi kerajaan mereka, "Takbir!!" , "Allahuakbar!" .


Saturday, 7 November 2015

MALAS

Dalam masa sebulan dua ni terlalu banyak perkara berlaku, ada yang diantaranya adalah transisi perkara baru yang saya alami dalam hidup. Barangkali membuatkan saya terlalu sibuk dengan urusan keduniaan dan kewajipan kifayah yang telah saya nekad semenjak bergelar pelajar perubatan.

Saya akui bahawa kesibukan ini membuatkan saya menjadi malas. Seharusnya kesibukan ini terus-menerus mengajar manusia erti masa dan kepentingannya. Ada juga seketika saya merasakan andai masa itu boleh dihentikan sebentar, untuk saya menghirup senafas udara segar (tanpa jerebu) dan menenangkan jiwa. Tapi apa mahu buat. Ini realiti. Jika ditampar rasa sakitnya, jika dicubit rasa bisanya. Maka ruang itu tidak wujud mengikut kemahuan diri ini. 

Malas! Apa yang menjadikan saya malas? Malas untuk melakukan apa? 

Kesibukan ini tidak lain tidak menjadi alasan saya untuk malas berfikir. Kadang-kala dalam waktu begini memberi saya peluang menjiwai watak si keldai yang hanya mengikut tuannya tanpa mempersoalkan apa-apa. Bersyukur! Betapa malangnya menjadi keldai kepada tuan yang rakus seperti itu. Tapi saya, tidaklah bertuankan manusia. Tapi bertuankan keduniaan. Maha dasyat paksaannya. Disuruh-suruh bukan dengan kekerasan, tapi tidak ada pilihan lain selain turuti untuk hidup. Ya, untuk hidup dan peluang mencuri senafas dua udara dalam ruang yang sempit lagi kotor.  Mana tak sempitnya, manusia terkini ada lebih kurang 8billion, berkongsi satu permukaan bumi yang berukuran  510.1 million km², tidak termasuk lautan, hutan-hutan belukar dan padang pasir yang kontang, yang mungkin meliputi 70% daripada seluruh permukaan bumi ini. Sesak! Sesak dengan homosapien yang berbagai langgam dan ragam.

Apabila saya malas berfikir dan sudah lama tidak berfikir, maka akal ini dirasakan semakin tumpul. Tidak tajam lagi. Banyak perkara jadi hilang timbangan. Tidak mampu kritik dengan kritis. Tidak mampu menulis dengan idealis (bahasa indonesia). Itu yang saya takutkan. Takut jika saya seperti homosapien lain, yang hidupnya hanya meneguk apabila dituang, mengangguk apabila diperintah atau...apa sahaja yang dilakukan homosapien tidak berkualiti ini. 

Maka lahirlah penulisan ini. untuk meligatkan akal dan melatih jari-jemari kembali segar dalam bidang penulisan. Ya, penulisan kali ini bukanlah kritikan yang kritikal terhadap isu semasa atau cerita viral di laman sosial. Jerebu, 1MDB, vape, AMANAH dan Pakatan Harapan, Najib, kenyataan menteri yang serba bijak dan lain-lain. Biarlah orang lain yang memberi perhatian terhadap isu itu. 

Jadi apakah yang saya cuba nukilkan dalam penulisan ini? Tiada! Tidak ada apa yang saya mahu sampaikan, melainkan ini hanyalah monolog saya. Anda sedang membaca hati dan fikiran saya. Inilah apa yang menyesakkan ruang akal saya selama waktu kesibukan ini. Jadi adakah anda adalah saya. Jangan mimpi. Ini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada apa yang ada dalam fikiran yang maha serabut ini. Jika ada homosapien yang cuba-cuba untuk meneroka fikiran homosapien yang lain, nescaya mereka sesat. Nak menggambarkan betapa serabutnya akal manusia pemberian tuhan yang maha hebat ini. Barangkali hutan tropika pun tidak serabut itu. 

Jika anda membaca penulisan ini, nyatakan apa yang ada dalam fikiran anda. Luahkan dalam bentuk tinta, sampaikan kepada homosapien yang lain dan harapkan mereka juga berbuat begitu. Jika tuhan menciptakan homosapien tanpa mulut, akal dan tangan sahaja sudah cukup untuk menyebarkan ilmu. Mulut hanya bonus, mudah dan menambahkan intonasi pada setiap kata sahaja. Bukankah penyebaran ilmu yang paling asas itu terletak pada membaca dan menulis, dengan harapan tinta itu tidak hilang untuk generasi homosapien seterusnya. Jika kebodohan yang kita tinggalkan, maka kebodohan yang kita lahirkan. 

Penulisan ini akan tamat disini. Objektif saya untuk menulis penulisan ini sudah tercapai. Saya mahu asah akal kasi tajam. Saya mahu latih jari kasi ligat. Biar tidak malas. Biar tidak mati. Akalku.

Thursday, 1 October 2015

ORIENTASI UNIVERSITI: PENGERAT JALINAN, PENGUKUH KESATUAN?


Sudah menjadi satu tradisi untuk pelajar baru mana-mana institusi pendidikan melalui proses pengenalan kepada suasana baru tempat belajar yang dikenali sebagai orientasi.

Satu fakta menarik mengenai orientasi adalah ia merupakan satu tradisi yang diterima pakai oleh kebanyakan negara dan pelbagai etnik. Cuma yang membezakan setiap orentasi mungkin adalah cara pelaksanaan dan objektif yang ingin dicapai.

Penulisan ini akan lebih menjurus kepada perbincangan orientasi berdasarkan etnik, objektif dan menyentuh pros dan cons dari segi pelaksanaannya di Universiti Malaya, khususnya pelajar perubatan.

Seorang pelajar kemasukan baru Universiti Malaya akan melalui sekurang-kurangnya tiga jenis orientasi selepas hari pertama mereka mendaftarkan diri sebagai warga UM; Minggu Haluan Siswa, Minggu pengenalan fakulti dan orientasi tidak formal yang dijalankan oleh senior.

Minggu Haluan Siswa yang dijalankan selama seminggu adalah satu bentuk pengenalan freshie kepada universiti termasuk pihak pentadbiran tertinggi, jabatan dan bahagian yang terlibat dengan hal ehwal pelajar sehinggalah kepada persatuan dan badan wakil pelajar. Dijalankan oleh pemudahcara mahasiswa yang dipilih dalam kalangan pelajar senior yang perlu melalui beberapa fasa latihan mengendalikan birokrasi dan pelajar, menjadikan MHS sebagai orientasi formal yang wajib dilalui oleh semua freshie pada minggu pertama kemasukan.

Minggu pengenalan fakulti akan berlangsung pada minggu kedua. Pelajar baru akan diberi pendedahan mengenai fakulti dan mengenali pihak pentadbiran dan senior fakulti. Sesi interaksi pada minggu pengenalan fakulti mungkin tidak memberikan senior ruang dan peluang yang mencukupi untuk 'bersuai kenal' dengan junior. Banyak lagi perkara yang mereka rasa perlu disampaikan kepada junior kesayangan mereka, maka diwujudkan satu lagi orientasi underground khas untuk interaksi senior-junior.

Saya cuba untuk meletakkan diri saya pada kedudukan neutral dalam penulisan ini supaya tidak bias kepada pihak yang menyetujui atau membangkak sekerasnya orientasi underground ini. 

Orientasi underground kebiasaannya akan melibatkan semua pelajar senior dan junior. Saya percaya objektif asal bagi mana-mana orientasi adalah untuk saling mengenali, sekurang-kurangnya mengetahui nama sesama mereka. Satu objektif yang baik!

Realitinya, orientasi yang dijalankan mungkin tidak seindah yang disangkakan, barangkali boleh menyimpang jauh daripada objektif asal mereka. Perlakuan dan budaya didalam orientasi mungkin dipengaruhi kefahaman agama masing-masing, budaya bangsa dan tahap rasional individu. 

Sesetengah orientasi boleh melibatkan perilaku yang tidak masuk akal dan kontra dengan norma budaya masyarakat. Ada juga yang melibatkan fizikal dan perlakuan berunsur seksual, yang merupakan salah satu bentuk tekanan mental; Ini dipanggil buli!

Orientasi underground adalah satu medium interaksi senior-junior yang sangat baik. Pada hemat saya, orientasi underground bukanlah sesuatu yang wajib, tetapi lebih baik jika ada, selagi mana tidak membelakangkan objektif utamanya.

Suasana orientasi underground pelajar perubatan tidak jauh berbeza daripada mana-mana fakulti lain di Universiti Malaya, yang terikat dengan blok perkauman. Cina-cina, India-India, Melayu-melayu dan tidak ketinggalan borneo-borneo.

Dalam fakulti perubatan, orientasi underground Chinese community(CC), Indian community(IC) dan Borneo community(BC) lebih menonjol berbanding Malay community(MC). Orientasi mereka lebih 'berat' dan mengutamakan senioriti-junioriti, manakala Malay community dilihat baru sahaja memulakan semula tradisi orientasi pada tahun ini setelah lima tahun dihentikan.

Berada dalam bidang profesional, lagi-lagi dalam bidang perubatan, menjadikan kita sebagai centre of attention , sering kali dijadikan bahan perbualan masyarakat, dijadikan contoh yang baik-baik atau dipandang tinggi oleh mereka yang dikaburi hakikat sebenar. Saya sedar doktor juga seorang manusia. Tuhan berikan kelebihan sedikit kepintaran berbanding orang lain, namun tuhan bagikan juga sifat-sifat mahmudah juga mazmumah. IQ yang tinggi tidak mencukupi menjadikan doktor sebagai kerjaya paling agung. Kepintaran perlulah disertai dengan EQ yang tinggi, maka tinggilah kewarasan dan rasionalnya sebagai seorang manusia, setinggi kemashuran yang diberikan oleh masyarakat.

Saya akui dan rasakan penulisan ini mungkin sedikit mengguris perasaan rakan-rakan sebidang, kalau tidak pun membuat diri sendiri terasa palitannya. Tidak semua orang mempunyai sikap yang baik. Tidak semua orang juga mempunyai level sukatan kebaikan yang sama. Cara kita melihat 'baik' mungkin berbeza. Tetapi sejauh mana berbeza pun, tetap tidak boleh lari dari norma masyarakat sekeliling. 

Orientasi seharusnya menjadi lapangan suai kenal antara senior dan junior. Hubungan baik antara senior-junior boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk, terutama dalam membina kesatuan dan bantuan dari segi akademik. Itu sepatutnya acuan orientasi yang terbaik. Bermanfaat lagi bermakna!

Dalam konteks orientasi yang dijalankan Malay community, seperti yang saya katakan sebelum ini, tidaklah saya membangkang sekeras-keras pelaksanaannya. Tetapi saya lebih melihat kepada keperluan, untuk apa diadakan orientasi untuk Malay community. 

Ini pertama kali diadakan setelah lima tahun dihentikan. Pada peringkat awal saya berpuas hati dengan objektif yang dibawa; mengeratkan hubungan senior-junior yang sekian lama terputus. Namun begitu ada beberapa perkara yang perlu diambil serius. Tidak semua senior memahami objektif utama orientasi ini. Sebahagian daripada senior menjalankan orientasi mengikut acuan mereka tersendiri, di pengaruhi dengan emosi dan pengalaman mereka semasa berada ditahun pertama. Perlu saya tekankan disini, zaman sudah berubah, masa sudah berlalu, pemikiran kita juga harus lebih terbuka dan rasional.

Saya faham, golongan senior ini mahu ajar adik-adiknya tentang hormat. Saya juga perlu sedarkan mereka bahawa 'Respect is something you earned, not asked' . Menggunakan paksaan untuk mendapat respect adalah satu kebodohan. Rasa hormat sepatutnya hadir dalam bentuk mutual ,ada yang memberi dengan sukarela dan ada yang menerima. Rasa hormat perlu ditunjukkan melalui teladan yang baik. 

Menyangka diri lebih baik dan mengharapkan orang lain memulakan usaha, hanyalah nama lain bagi ego. Setiap orang ada ego. Faham~. Namun tidak salah juga kita bersikap terbuka. Interaksi ini bukan satu hala. Interaksi ini melibatkan senior dan junior. Bukan junior sahaja perlu mengenali senior, tetapi senior juga perlu mengenali mereka. Maka usaha itu perlulah berjalan daripada dua-dua pihak. Tidak salah kita turunkan sedikit ego untuk satu hubungan terjalin erat. Manis!

Orientasi ini satu pendekatan yang baik, jika kena pengisiannya. Saya bukan cuba untuk bersikap perkauman atau kiasu terhadap bangsa sama jenis. Tetapi saya lebih merasakan ini satu keperluan demi mengimbangi kemampuan kita dan mempersiapkan diri untuk bercampur gaul dengan bangsa lain. Orientasi ini satu cara terbaik kita terapkan nilai yang baik kepada junior, sebagai contoh persepsi kita dalam penggunaan bahasa Inggeris. Melayu ini bukan tidak pandai berbahasa Inggeris. Malah jika dibandingkan dengan bangsa lain, pencapaian MUET kita boleh dikatakan sama hebat. Tetapi bila disuruh bercakap, sipu-sipu tergagap. Ini bukan mengherdik atau bangga diri. Saya juga masih belajar, memperbaiki sebutan dan menambah keyakinan bila bertutur bahasa Inggeris. Bukan mudah, tetapi tidak juga susah. Letakkan sedikit usaha dan istiqamah, pasti ada peningkatannya. 

Disebabkan kita terlalu selesa menjadi 'tuan' ditanah sendiri, kita hilang competency. Kita gagal untuk menonjolkan diri, gagal juga untuk berasimilasi, dengan bangsa lain. Maka jurang semakin jauh, impian melahirkan bangsa Malaysia semakin samar-samar. Bahasa penting untuk berkomunikasi, bahasa juga penting untuk bergaji tinggi. 

Saya secara individu tidak menolak sepenuhnya racial-based orientation, tetapi tidak pula bersetuju dengan hampir kesemua amalan dalam orientasi jenis ini. Saya seperti berjuta rakyat Malaysia yang lain, yang mempunyai cita-cita untuk melihat sebuah bangsa Malaysia setelah 58 tahun kemerdekaan. Visi saya tetap teguh untuk menyokong dan meneruskan mana-mana usaha membina sebuah bangsa Malaysia yang bersatu. Pada peringkat awal pembentukan ini, sebarang bentuk aktiviti yang melibatkan satu kaum perlu dielakkan dan memperbanyakkan aktiviti yang memberi ruang asimilasi dan akulturasi pelbagai bangsa.

 Saya perlu tekankan berkali-kali, saya tidaklah menolak secara total pelaksanaan orientasi underground ini. Malah saya akan menyokong mana-mana usaha yang dilakukan untuk mengeratkan hubungan senior-junior, janji bertepatan dengan objektif yang rasional dan terbuka, dan tidak juga membelakangkan visi pembinaan negara bangsa iaitu bangsa Malaysia terbina. 

p/s: penulisan ini lebih kepada pendapat peribadi penulis, dirangkum berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri.








Wednesday, 23 September 2015

MENCARI PERPADUAN DALAM PLURALISTIK - PERAYAAN DI MALAYSIA

Selamat Hari Raya AidilAdha saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, dan selamat bercuti kepada yang lain.

Malaysia sebuah negara majmuk, dengan pluraliti agama dan bangsa. Keperlbagaian bahasa pertuturan, namun tetap menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa perlembagaan adalah sesuatu yang mungkin tidak terdapat di mana-mana negara lain.

Kepelbagaian ini adalah sesuatu yang perlu dirai. Keunikan ini adalah sesuatu yang perlu diangkat menjadi kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

Dalam hidup bermasyarakat dalam konteks Malaysia, saling memahami dan bertoleransi adalah punca kepada perpaduan dan hidup yang harmoni. 58 tahun usaha disemai untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang merupakan impian setiap orang yang perlu diteruskan. 

Kita sedar bahawa usaha untuk membina sebuah bangsa Malaysia bukan satu usaha yang mudah. Kita telah dijurangkan dengan bahasa pertuturan yang berlainan, budaya yang berlainan, status sosioekonomi yang berlainan, agama yang dianuti berlainan dan  kini usaha ini telah dibatasi dengan fahaman politik yang berlainan.

Dalam proses asimilasi ini, kepecayaan kepada bangsa lain adalah penting. Setiap etnik perlu diberi peluang untuk mentadbir negara ini, bukan hanya untuk membela kelompok mereka sendiri tetapi objektifnya adalah untuk meletakkan beban membangunkan negara bersama-sama.

Politik adalah alat terbaik dalam membina sebuah bangsa Malaysia. Amalan politik yang baik menjamin suasana yang harmoni demi menumpu usaha pada pembangunan negara. Namun, politik juga adalah racun, yang memecahbelahkan masyarakat dengan fahaman yang rosak dan pentingkan diri sendiri. 

Kitaran politik yang tidak baik ini telah lama wujud. Diamalkan dari generasi ke generasi. Akhirnya, perpaduan digadai, demi memenangkan sebuah parti politik.

Perlu kita sedar bahawa pembinaan bangsa Malaysia adalah asas kepada kemakmuran negara ini. Hasil perpaduan yang disemai akan menghasilkan sebuah kerajaan yang kuat. Perpaduan merupakan penyelesaian kepada permasalahan pembahagian kekayaan negara, hak pendidikan, hak ekonomi, pelaksanaan dasar negara dan banyak lagi. Masyarakat yang rapuh akan menghasilkan sebuah kerajaan yang kucar-kacir, sekaligus memberi kesan kepada pembangunan negara.

Tanggungjawab membina perpaduan ini terletak dibahu setiap rakyatnya sehinggalah setiap ahli politik. Berhenti menggadaikan perpaduan ini demi kepentingan parti untuk meraih sokongan segelintir masyarakat. 

Kita wajib mengimpikan sebuah bangsa Malaysia terbina dengan kehidupan yang harmoni dan saling memahami. Nasib Malaysia pasa masa akan datang dipertanggungkawabkan keatas kita sebagai generasi yang mencorak perpaduan atau sebaliknya.


Monday, 21 September 2015

ANALISIS POLITIK KAMPUS - FAKTOR DAN IMPLIKASI

1. Pentas demokrasi Universiti Malaya akhirnya melabuhkan tirainya pada 17 September lalu dengan keputusan yang telah dijangkakan. Jentera Penggerak Mahasiswa, satu-satunya parti yang melibatkan diri dalam pilihan raya kampus pada sesi ini telah berjaya merampas 26 kerusi fakulti dan 6 kerusi umum. Selebihnya dimenangi oleh calon bebas yang bertanding dan satu kerusi dengan keputusan seri diantara calon mereka dan bebas di Fakulti Sastera dan Sains Sosial yang akan dijalankan pilihan raya sekali lagi.

2. Belum terlewat untuk saya ucapkan tahniah kepada siapapun yang telah berjaya dipilih atau terpilih untuk menjadi wakil pelajar mereka.

3. Keputusan seteru kuat Penggerak Mahasiswa iaitu Pro Mahasiswa UM untuk menarik diri daripada pilihan raya kampus menimbulkan banyak persoalan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Universiti Malaya sendiri.

4. Sememangnya keputusan ini memberi kesan besar kepada perjalanan politik kampus terutama di Universiti Malaya sendiri.

5. Saya terpanggil untuk meneliti kemungkinan faktor yang menyebabkan keputusan drastik sebegini dibuat dan implikasinya kepada suasana politik kampus.

6. Sebelum saya memulakan penulisan ini, adalah baik untuk saya menjelaskan bahawa kedudukan saya sebagai pemerhati bebas dan tidak terikat kepada mana-mana parti. Saya akui bahawa saya merupakan wakil pelajar Fakulti Perubatan yang bertanding menggunakan tiket Pro-Mahasiswa UM pada sesi lepas. Kredibiliti saya mungkin diragui kerana berkemungkinan penulisan saya akan tercenderung mengangkat sebelah pihak. Setiap orang mempunyai prinsip tersendiri. Saya mengangkat prinsip untuk lebih terbuka, tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan menjulang kebenaran, tidak kira ia datang dari pihak manapun. Saya juga mahukan masyarakat terbuka menerima apa jua pandangan dan menolak pemikiran partisan sempit. 

7. Saban tahun menjelang pilihan raya diadakan akan memperlihatkan dua parti paling dominan iaitu Penggerak Mahasiswa dan Pro-Mahasiswa memeriahkan pentas demokrasi ini. Corak suasana politik sebegini sudah menjadi kebiasaan dan diterima pakai oleh mahasiswa. 

8. Perunduran jentera Pro-Mahasiswa dari pentas demokrasi pada kali ini berkemungkinan atas beberapa faktor dalaman dan luaran. 

9. Peraturan pilihan raya kampus pada tahun ini buat pertama kalinya telah diubah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan diselaraskan di semua Universiti Awam. Sebelum ini, pengurusan universiti diberi autonomi untuk melaksanakan pilihan raya kampus pada tarikh yang bersesuaian dan wakil pelajar yang terpilih diberi tempoh selama setahun atau dua semester untuk melaksanakan agenda mahasiswa yang telah dirancang. 

10. Pilihan raya kampus perlu diadakan dalam tempoh 45 hari selepas kemasukan pelajar pada setiap tahun.

11. Tindakan Kementerian menyelaras tarikh pilihan raya adalah satu tindakan drastik bagi mengawal politik kampus yang dilihat sebelum ini dikuasai oleh kelompok mahasiswa yang keras mengkritik dasar kerajaan. Penyelarasan tarikh ini cukup memberikan impak besar kepada gerak kerja jentera Pro-Mahasiswa dalam mengatur strategi politik mereka. Dalam kata lain, Pro-Mahasiswa dilihat kurang bersedia untuk menghadapi pilihan raya memandangkan ini pertama kali diadakan selepas perubahan peraturan dibuat.

12. Dalam perubahan drastik yang dilakukan, Penggerak Mahasiswa dilihat lebih bersedia dalam gerak kerja mereka dengan strategi yang lebih tersusun. Pencarian calon yang bakal bertanding juga telah dilakukan lebih awal membuatkan persiapan persediaan jentera dan calon berjalan dengan baik dan teratur. Faktor kesediaan mereka menghadapi pilihan raya kampus kali ini tidak dapat dipastikan. Sebahagian pemerhati politik kampus berpendapat, ia didorong oleh kebersediaan mereka menghadapi PRK setelah berehat selama empat tahun daripada pimpinan PMUM akibat kekalahan mereka kepada Pro-Mahasiswa. Selain itu juga kemenangan mereka juga mungkin disebabkan status mereka sebagai gerakan mahasiswa Pro-establishment yang mempunyai hubungan baik dengan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan mendapat manfaat secara langsung daripada hubungan itu seperti mengetahui lebih awal mengenai perubahan ini dan penglibatan mereka secara langsung dalam Minggu Haluan Siswa(MHS) dan pimpinan kolej kediaman memberikan mereka peluang yang lebih banyak berinteraksi dengan mahasiswa terutama mahasiswa baru tahun pertama.

13. Selain ketidaksediaan jentera Pro-Mahasiswa menghadapi perubahan dalam peraturan PRK, ada beberapa faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusan yang dibuat. Perpecahan dalam pimpinan Pro-Mahasiswa sendiri dilihat menjadi punca gerak kerja mereka tergendala. Sebahagian pimpinan dilihat tidak bersefahaman dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan parti.

14. Pro-Mahasiswa UM merupakan sebuah parti politik kampus yang cukup gah dalam dunia aktivisme mahasiswa. Sebahagian besar pimpinan Pro-Mahasiswa UM terlibat secara langsung mengendali, menganjur dan mengetuai gerakan aktivis mahasiswa lain dalam memperjuangkan perihal mahasiswa dan rakyat Malaysia. Mereka juga dilihat cukup vokal dalam menyuarakan pendapat dan cakna dalam mendepani isu semasa dalam negara. Berikutan kesibukan mereka dalam memberi respon kepada isu semasa negara seperti skandal 1MDB, mereka tidak dapat memberikan fokus penuh dalam menghadapi pilihan raya kampus. 

15. Setiap tahun pimpinan Pro-Mahasiswa UM akan bertukar ganti. Yang lama akan digantikan dengan muka-muka baru. Perubahan ini baik dalam konteks memberikan peluang kepada generasi baru menggerakkan jentera dengan cara baru yang lebih baik. Tetapi kita juga perlu sedar bahawa penukaran ini juga bermakna kita memberi tanggungjawab gerak kerja politik kepada orang baru, yang mungkin kurang berpengalaman atau tidak bijak dalam merencana gerak kerja mereka. Pada pendapat saya, berkemungkinan pimpinan baru Pro-Mahasiswa tidak dicukupkan dengan pengalaman dan ilmu dalam menghadapi asam garam politik kampus terutama di Universiti Malaya.

16. Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakan diatas, saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan yang dibuat ini adalah atas faktor strategi baru politik Pro-Mahasiswa UM. Mereka telah menguasai PMUM selama empat penggal semenjak sesi 2011/12. Tindakan menarik diri dalam pilihan raya kampus mungkin boleh dikatakan sebagai set point untuk mereka menilai semula setiap gerak kerja mereka selama empat penggal itu dan menstruktur semula strategi politik dengan membawa idea-idea baru yang lebih baik bagi menghadapi sekatan-sekatan yang dilakukan oleh HEPA untuk menghadkan gerakan mahasiswa berhaluan kiri.

17. Membuat keputusan menarik diri dalam pilihan raya kampus pada sesi ini merupakan satu keputusan yang penting dalam mencorak proses demokrasi kampus. Keputusan ini akan terlakar didalam sejarah perjalanan politik kampus dan negara. 

18. Secara tidak langsung tindakan mereka memberikan impak yang besar yang melibatkan suasana dalam kampus dan juga diluar kampus. 

19. Merujuk kepada penulisan saya sebelum ini mengenai PRK UM, saya telah menjelaskan bahawa ketiadaan Pro-Mahasiswa telah membuka jalan kepada third force untuk turut terlibat dalam pilihan raya kampus. Pada kali ini, muncul beberapa muka baru dalam pentas demokrasi, antaranya Harmoni daripada Ikram Siswa, PEMBINA dan beberapa calon bebas telah memeriahkan lagi suasana politik UM. Penglibatan mereka secara tidak langsung memberikan pilihan yang lebih banyak kepada mahasiswa dalam memilih wakil pelajar mereka yang mungkin lebih baik daripada calon partisan. Penglibatan lebih banyak calon bebas dan third force ini juga dilihat sebagai satu langkah yang perlu diteruskan bagi mengubah suasana politik partisan yang melampau dan merosakkan.

20. Ketiadaan Pro-Mahasiswa dalam PRK telah memberi jalan mudah kepada Penggerak Mahasiswa untuk menguasai PMUM. Kemenangan mereka telah disalahgunakan oleh parti politik luar untuk menunjukkan sokongan mahasiswa kepada parti tertentu. Berikutan kenyataan DS Najib yang menyifatkan bahawa beliau mendapat sokongan dan semakin diterima oleh mahasiswa disebabkan kemenangan Aspirasi@Penggerak Mahasiswa mungkin menguatkan lagi sangkaan sesetengah pihak yang menggelarkan mereka sebagai UMNO kampus disebabkan hubungan parti pemerintah dengan parti Pro-establishment dikampus.

21. Sebahagian besar mahasiswa menyambut baik keputusan Pro-Mahasiswa untuk terus menarik diri daripada PRK pada kali ini adalah satu simbolik menolak segala bentuk campur tangan Kementerian Pendidikan yang dikawal oleh parti pemerintah dalam pengurusan universiti, manakala sebahagian yang lain juga berpendapat bahawa usaha menguasai PMUM adalah satu usaha yang sia-sia disebabkan sekatan terhadap autonomi mahasiswa yang dilakukan oleh HEPA yang dipercayai atas arahan pihak berkepentingan.

22. Pro-Mahasiswa atau Penggerak Mahasiswa, kedua-duanya adalah gerakan yang mendepani isu-isu mahasiswa. Walaupun wujudnya perbezaan ideologi diantara dua parti ini, perjuangan yang dipegang oleh kedua-dua parti ini untuk membawa suara mahasiswa perlu diteruskan. 

23. Suasana politik kampus akan mencerminkan suasana politik negara pada masa akan datang. Kita tidak mahu meneruskan amalan politik yang tidak sihat yang dilakukan oleh ahli politik sediada. Maka perubahan itu perlu dilakukan dari dalam kampus sendiri. Wujudnya parti politik yang berbeza tidak bermakna akan berlaku perpecahan yang lebih parah. Perbezaan ini perlu dirai dan dijadikan medium timbal balik dalam membuat sebarang keputusan untuk dapatan yang lebih baik.   

p/s: Penulisan ini hanyalah pendapat saya, yang sebahagiannya diperolehindaripada pemerhatian dan pengalaman sendiri terlibat secara langsung dalam politik kampus.




Sunday, 20 September 2015

PROTES KUNING - MERAH : PUNCA DAN IMPLIKASI - Prof. Mohd Nazari Ismail


Baru-baru ini kita telah menyaksikan dua perhimpunan besar di bandaraya Kuala Lumpur. Perhimpunan pertama terdiri dari mereka yang berbaju kuning yang menuntut supaya wujudnya pilihanraya yang adil dan bebas, kerajaan yang telus, hak untuk berdemonstrasi, menguatkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara. Perhimpunan yang kedua oleh yang berbaju merah pula agak sukar difahami objektifnya kerana tidak dinyatakan secara jelas. Namun ramai yang beranggapan bahawa ianya adalah kombinasi reaksi membantah perhimpunan pertama serta memberi amaran kepada kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina supaya menghormati status ketuanan Melayu di Malaysia. 
Walaupun objektif kedua-dua perhimpunan adalah sangat berbeza, namun pada pengamatan saya pula, satu faktor utama yang mencetuskan perhimpunan di atas, yang mungkin disedari hanya oleh sebahagian kecil dari mereka yang berhimpun, adalah masalah ekonomi yang dihadapi oleh mereka sendiri. Ini kerana kebiasaanya, apabila rakyat merasa selesa dengan kehidupan mereka, mereka menjadi tidak sensitif terhadap aspek penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin. Begitu juga perasaan negatif terhadap bangsa lain tidak akan menjadi kuat jika masyarakat dalam keadaan selesa dan mewah. Namun demikian, keadaan akan berubah jika rakyat merasa tertekan dengan kesempitan hidup akibat beban kewangan yang tinggi dalam menjalani kehidupan harian.
Terdapat beberapa bukti kepada analisis ini. Di Amerika Syarikat, pada dekad-dekad sebelum ini, amat jarang sekali kita melihat perhimpunan berbentuk protes secara besar-besaran kecuali perhimpunan gerakan hak sivil untuk memberikan hak yang lebih kepada golongan kulit hitam yang tertindas dan juga protes terhadap penglibatan Amerika Syarikat di dalam perang Vietnam. Namun dalam dua dekad terakhir ini, telah berlaku beberapa perhimpunan protes terutama sekali di sekitar lokasi mesyuarat institusi kewangan IMF atau WTO. Contoh yang terbaik adalah protes yang agak ganas terhadap WTO di Seattle, Amerika Syarikat pada tahun 1999.
Satu lagi adalah perhimpunan `Gerakan Occupy’ (Occupy Movement) di beberapa bandar besar di Amerika Syarikat yang bermula di Zuccotti Park di bandaraya New York pada 17 September 2011 dengan gelaran gerakan `Occupy Wall Street’. Perhimpunan ini telah disusuli dengan perhimpunan yang sama di beberapa bandaraya lain di seluruh dunia. Isu pokok yang ditekankan ialah kewujudan ketidakadilan keadaan sosio-ekonomi (social and economic inequality) di dalam masyarakat. Ungkapan yang digunakan oleh pendemonstrasi ialah `We are the 99%’ yang merujuk kepada keadaan di mana dirasakan 99 peratus rakyat hidup dalam kesusahan dan hanya 1 peratus yang hidup dalam kesenangan. Beberapa perhimpunan berbentuk `Occupy’ ini juga berlaku di Eropah seperti `Occupy London’ pada tahun 2012 yang berpusat di luar St Paul’s Cathedral.
Di Timur Tengah, fenomena protes ini juga telah berlaku dengan gelaran `Arab Spring’. Ianya tercetus pada tahun 2010 di Tunisia apabila seorang pemuda yang berasa begitu kecewa dengan kesempitan hidupnya telah dizalimi oleh pihak polis telah membakar dirinya sehingga mati. Protes besar-besaran yang menyusul berjaya menggulingkan pemerintah negara tersebut. Sementara di Mesir pula kemuncaknya ialah kejatuhan Presiden Mubarak pada tahun 2013. Faktor utama kenapa begitu ramai pendemonstrasi di Mesir sanggup bersabung nyawa menentang pemerintah yang zalim ialah kerana keperitan hidup terutama sekali pengangguran di kalangan pemuda dan pemudi. Punca yang sama jugalah telah berjaya menggulingkan Muammar Gaddafi di Libya kerana di negara tersebut, bukan sahaja wujud seorang pemerintah yang zalim bahkan juga kadar pengangguran yang tinggi di kalangan pemuda iaitu sekitar 50%. Di Mesir pemimpin yang dilahirkan oleh revolusi iaitu Presiden Morsi telah dirampas kuasanya secara haram oleh Presiden As Sisi. Namun demikian, ramai yang meramalkan As Sisi akan menghadapi revolusi yang kedua kerana keadaan ekonomi Mesir yang begitu tenat dan kadar pengangguran yang tinggi terutamanya di kalangan pemuda.
Sebenarnya masalah ekonomi dan masalah kos kehidupan serta masalah pengangguran adalah masalah global, ianya berlaku di hampir kesemua negara di dunia. Bahkan ianya lebih meruncing di negara-negara berpendapatan tinggi seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jepun. Begitu juga negara jiran kita iaitu Singapura yang dilihat sebagai negara termaju di Asia Tenggara. Sebagai contoh, kos perumahan di Singapura adalah sangat tinggi dengan sewaan HDB flat (iaitu jenis kediaman paling murah di Singapura) boleh meningkat kepada lebih dari RM7,000 sebulan. Pendapatan di Singapura bukanlah tinggi sangat berbanding kos kehidupan rakyatnya. Sebagai contoh, pendapatan guru adalah hanya lebih kurang RM8 ribu sebulan. Ini bermakna hampir keseluruhan pendapatan guru akan dihabiskan dengan pembayaran sewa. Di Tokyo pula, kadar sewaan apartmen satu bilik adalah lebih dari RM10 ribu sebulan. Jelaslah kepada kita bahawa masalah kesempitan hidup ini adalah masalah global dan dihadapi oleh hampir kesemua negara. Ironinya negara yang berpendapatan tinggi adalah yang paling tertekan, terutama sekali apabila kadar penganggurannya adalah tinggi.
Apa yang dapat dirumuskan ialah punca masalah kesempitan hidup rakyat bukannya kerana pendapatan per kapita yang rendah atau kezaliman pemimpin semata-mata. Sebenarnya punca masalah tersebut adalah sistem kewangan negara yang berkembang dengan cepat akibat penciptaan matawang dengan banyak melalui penciptaan kredit. Apabila sektor kewangan berkembang, sektor ini akan memberikan hutang kepada kerajaan, sektor swasta dan isi rumah dengan banyak. Ekonomi negara akan berkembang pesat pada mulanya. Namun demikian, lambat laun masalah akan timbul kerana kos kehidupan akan bertambah dan dalam masa yang sama tahap hutang juga meningkat. Kesannya ialah inflasi yang sentiasa meningkat sementara tahap hutang semakin tinggi. Sebagai contoh, di Malaysia jumlah hutang isi rumah berbanding KNK adalah hanya 57% pada tahun 2002. Pada tahun 2013 peratusannya meningkat menjadi 87%. Pada akhir tahun 2008, jumlah hutang isi rumah di negara ini ialah RM465 billion dan pada akhir tahun 2014 ianya telah meningkat menjadi RM940 billion. Tahap gaji pula tidak akan meningkat pada kadar yang sama dengan inflasi kerana kebanyakan firma mempunyai bebanan hutang yang tinggi di samping menghadapi tekanan persaingan yang sengit dari firma pesaing yang lain yang juga menghadapi tekanan hutang yang tinggi.
Persoalannya mengapakah di negara kita ramai yang berasa marah kepada kerajaan sementara di negara-negara barat kemarahan telah ditujukan kepada sektor kewangan? Jawapannya ialah rakyat negara ini yang tertekan akan mencari tempat untuk melepaskan kemarahan mereka. Oleh kerana wujud masalah ketidakadilan, penindasan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin maka rakyat merasakan itulah punca utamanya. Kebanyakan mereka tidak faham akan peranan sistem kewangan dalam mengakibatkan mereka mengalami kesempitan hidup. Sebaliknya di negara barat, masalah salah guna kuasa dan rasuah adalah tidak begitu serius. Tahap ketelusan dalam pentadbiran negara adalah sangat tinggi. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat semua rakyat tahu apakah pendapatan Presiden Obama setahun serta harta pemilikan beliau. Mereka juga diberi hak untuk mengetahui kenapa sesebuah syarikat mendapat kontrak kerajaan. Oleh sebab itulah protes yang berlaku di barat ditujukan kepada institusi kewangan dan tidak kepada pemerintah. Sebaliknya di negara kita, tahap ketelusan adalah rendah. Ditambah pula dengan pendedahan kisah penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin yang sangat meluas, terutama di alam maya dan kerajaan pula telah gagal meyakinkan rakyat bahawa kisah tersebut adalah palsu atau tidak benar.
Akibatnya di Malaysia sebahagian besar dari rakyat merasakan bahawa kesempitan hidup mereka adalah semata-mata akibat dari penyalahgunaan kuasa pemimpin Barisan Nasional. Malangnya reaksi pemimpin Barisan Nasional juga tidak membantu. Mereka sepatutnya memberikan maklumat dengan lebih terperinci untuk membuktikan bahawa mereka tidak menyalahgunakan kuasa. Sebaliknya, mereka dilihat menggunakan kuasa untuk menutup kisah-kisah yang telah dibongkarkan. Contohnya dalam kes 1MDB, pegawai penyiasat telah disekat atau dipindahkan sementara Peguam Negara telah dipecat dari jawatannya. Isu perkauman pula telah digunakan untuk menarik perhatian rakyat daripada isu-isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang lebih penting untuk dibincangkan. Sudah tentu ramai yang tidak yakin bahawa bangsa Cina adalah punca kepada semua permasalahan negara. Namun akan wujud juga segelintir yang senang terpedaya dan merasakan bahawa kesempitan hidup mereka adalah akibat dari tindak tanduk kaum Cina yang dilihat semakin berani mencabar hak istimewa orang Melayu.
Taktik menggunakan sentimen perkauman ini adalah taktik biasa pemimpin yang sudah kehabisan modal untuk berhujah secara rasional. Malangnya sentimen kaum adalah sesuatu yang menyentuh emosi dan oleh itu mudah mendapat sambutan segelintir rakyat, terutama sekali dari kalangan yang tidak berfikiran kritikal, atau kurang terdedah kepada maklumat di alam maya atau siber. Adalah diharapkan taktik pemerintah untuk memanipulasi pemikiran mereka ini tidak akan berjaya kerana sekiranya ia berjaya, ia bakal menimbulkan suasana kekecohan yang sangat merbahaya kepada kestabilan politik negara di masa akan datang.
Berdasarkan perkembangan tersebut, adalah jelas negara ini berpotensi menghadapi keadaan yang getir dan merbahaya di masa akan datang jika isu perkauman ini terus dimainkan. Di Rwanda pada tahun 1994, rakyat telah dimanipulasikan oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan konflik perkauman yang dahsyat yang mengakibatkan hampir satu juta penduduknya terkorban. Adalah tidak mustahil konflik seperti ini boleh berlaku di negara kita, jika suasana ekonomi menjadi bertambah tenat sementara pemimpin semakin ghairah meniup api perkauman. Untuk mengelakkan senario yang dahsyat ini dari berlaku, masyarakat Malaysia perlu memastikan beberapa perkara penting seperti berikut diwujudkan di negara kita:
1. Sistem politik yang lebih bebas, adil, saksama dan telus. Ini kerana dalam keadaan tersebut, perbincangan boleh dilakukan dengan bebas untuk memastikan pendapat yang baik dan bernas dapat dikeluarkan dan menjadi input kepada polisi negara yang akan menjamin kesejahteraan rakyat. Di samping itu, rakyat juga akan berasa tidak dizalimi dan manipulasi sentimen kaum akan dapat dibenteras daripada awal lagi. Sudah tentu sistem politik yang lebih bebas, adil, saksama dan telus akan memastikan negara akan mendapat pemimpin yang amanah dan ikhlas dan bukannya pemimpin yang khianat dan mementingkan diri sendiri.
2. Sistem ekonomi yang bebas dari amalan riba. Dengan cara itu kadar inflasi akan menurun, kos kehidupan akan terkawal, beban hutang dalam masyarakat akan menurun, tahap persaingan antara firma juga akan menurun, syarikat sederhana dan kecil akan bertambah dan peluang pekerjaan juga akan bertambah.
3. Sistem nilai masyarakat yang berasaskan kepada ajaran agama dan tidak menekankan aspek material semata-mata. Dengan cara itu, kadar kepenggunaan (consumption) akan terkawal, dan masyarakat tidak akan mempunyai gaya hidup yang suka berhutang dan oleh yang demikian sistem Riba tidak akan dapat berkembang.
Perlaksanaan kesemua perkara di atas memerlukan banyak usaha dan pengorbanan, terutama sekali dari mereka yang menggelar diri mereka sebagai pendakwah yang sedang berusaha mewujudkan sebuah negara rahmah. InshaAllah usaha ini akan berjaya dan generasi akan datang akan hidup dalam keadaan yang makmur dan selamat di dunia dan juga akhirat.

Prof. Mohd Nazari Ismail, Phd.
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM


Saturday, 19 September 2015

Siapa Kena Tampar?

1. Berikutan viral berita daripada Astro Awani yang menunjukkan ucapan Perdana Menteri terhormat Malaysia ketika merasmikan Perhimpunan Silat Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Merdeka 2015 di Dataran Merdeka pada September, mendapat respon daripada banyak pihak.

2. Saya turut mengikuti ucapan penuh beliau dan cuba memahami apa yang cuba disampaikan. Ia sangat lucu, membuatkan saya tergelak.

3. Ucapan yang disampai DS Najib cukup bersemangat. Saya kagum dengan keupayaan beliau menyampaikan ucapan dan pidato dengan penuh lenggok bahasa dan intonasi yang mengasyikkan. Memang benarlah kata orang yang beliau memiliki bakat berpidato yang sangat menakjubkan seperti ayahandanya.

4. Namun, dalam penilitian setiap bait ucapannya, ada beberapa perkara yang saya rasakan tidak kena, dari segi konten sehinggalah kepada motif disebalik ucapannya. 

5. Saya masih ingat apa awal bulan April 2009, selepas beliau mengambil tampuk kerajaan daripada PM sebelumnya, laungan 1Malaysia bergema disetiap penjuru dan pelusuk tanah air. Daripada media arus perdana sehinggalah kepada media alternatif, laungan slogan itu diulang tayang untuk memastikan ia diketahui sehingga kepada mak cik di ulu kampung sekalipun. 

6. Saya menyambut baik gagasan ini dengan penuh teruja. Mungkin inilah the chosen one yang dinantikan oleh rakyat Malaysia untuk memimpin mereka kearah pembentukan sebuah negara bangsa yang gemilang dan makmur. Dengan intipati disebalik slogan yang bercirikan perpaduan, kebajikan dan mengutamakan dasar mengikut sosioekonomi rakyat, gagasan ini saya yakin dapat membawa Malaysia kearah order pemerintahan baru.

7. Namun, setelah meneliti ucapan beliau di PESAKA 2015, saya menjadi bingung dan keliru. Apa yang beliau cuba lakukan?

8. Daripada konten ucapan beliau menunjukkan sesuatu yang bertentangan dengan gagasan yang dilaungkan.  Tindakan beliau seolah-olah cuba untuk mengapi-apikan kebangkitan kaum Melayu sehingga mencetuskan isu perkauman dan menambah jurang perpaduan antara kaum di Malaysia.

9. "Sekali tampar, kita tak buat apa. Dua kali tampar...tak buat apa..tiga kali tampar..tak buat apa..tapi empat kali tampar sudah melampaui batas. Orang Melayu ada hak juga." -Najib Razak

10. Siapa yang ditampar? Siapa yang menampar? Saya merasakan ada banyak persoalan yang ditinggalkan oleh beliau dalam petikan ucapan diatas. Apa yang beliau maksudkan Melayu telah ditampar? Adakah bermaksud orang Melayu ditindas? Siapa yang menindas? Bagaimana orang Melayu ditindas? Kenapa pula orang Melayu ditindas? 

11. Saya mungkin mengandaikan beliau maksudkan orang Melayu telah diperkotak-katikkan oleh bangsa lain. Bagaimana? Bukankah kita ramai pemimpin tertinggi orang Melayu? Bukankah setiap jabatan kerajaan tidak kira yang mengawal selia perkhidmatan kerajaan, pengamal undang-undang sehinggalah yang mengstruktur ekonomi negara adalah orang 'kita'? Bagaimana pula orang melayu masih diperkotak-katikkan oleh bangsa lain? Apa yang pemimpin Melayu buat selama ni? Sesuatu tidak kena.

12. Saya sifatkan ucapan diatas sebagai perkauman kerana disebalik maksud petikan ini memberi mesej kepada orang Melayu untuk bangkit dan menentang si penampar. Dan saya yakin DS Najib tidak maksudkan si penampar itu adalah dirinya atau pemimpin Melayu lain yang tidak menjalankan tugas dengan amanah. Maka secara tidak langsung, rakyat melihat ucapan beliau sebagai pembakar semangat dan green light untuk orang Melayu bangkit secara besar-besaran bagi menentang si penampar yang tidak pasti siapa yang dimaksudkan beliau. Saya mengandaikan beliau maksudkan bangsa lain selain Melayu, disebabkan dalam ucapan beliau menekankan subjek yang ditampar adalah sebuah kaum di Malaysia iaitu Melayu.

13. Bolehkah DS Najib ditangkap dibawah ISA atas kesalahan mencetuskan huru hara dan membangkit kemaraan kaum tertentu kerana ucapan beliau? Oh saya terlupa, ISA sudah dimansuhkan dan dijenamakan dengan nama timangan baru iaitu POTA. 

14. Dalam fikiran saya terbayang, sekiranya yang berucap adalah Lim Kit Siang dari DAP dan subjek bangsa yang difokuskan ditukar kepada Cina, saya yakin tidak sampai 24jam selepas berucap LKS akan dihumban ke penjara dan portal berita akan penuh berita sensasi "Lim Kit Siang, DAP hina Melayu" , "Lim Kit Siang menghasut Cina melawan Melayu" ataupun "DAP parti Cina perkauman" dan seangkatan dengannya. 

15. Ada juga beliau nyatakan dalam ucapannya, "Orang Melayu boleh bangun bila maruah mereka tercalar, bila pemimpin dihina, dikutuk dan dipermalukan. Cukup jangan sesiapa ulang perbuatan durjana seperti ini,"-Najib Razak

16. Mungkin beliau cuba menyatakan motif disebalik ucapannya. Beliau cuba mempergunakan kebangkitan orang Melayu untuk mempertahankan dirinya yang kini dihujani serangan berikutan skandal salah guna kuasa dan pecah amanah daripada isu 1MDB dan Dana Politik RM2.6 bilion.

17. Mari saya rumuskan sedikit siapa yang menyerang beliau. Pertama, pemimpin pembangkang yang memulakan penyiasatan keatas 1MDB. kedua, mentor beliau sendiri iaitu Tun Mahathir. Ketiga, pemimpin-pemimpin negara sekutu yang menasihati beliau seperti David Cameron. Keempat, portal media antarabangsa seperti Wall Street Journal, The Edge dan Sarawak Report dan media alternatif dalam negara seperti Malaysiakini, Harakah dan Malaysian Insider. Kelima, daripada penguatkuasa bebas(kini tidak lagi) seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia. Keenam, daripada badan anti rasuah antarabangsa yang dinyatakan dalam 16th International Anti-Corruption Conference (16IACC)  yang baru diadakan di Kuala Lumpur. Ketujuh, yang paling penting adalah sebilangan besar rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama yang mahukan masa depan Malaysia yang lebih baik. 

18. Bukan Cina yang menentang beliau. Bukan juga India. Tetapi banyak pihak yang sangsi akan kredibiliti beliau sebagai pemimpin, termasuk tekanan daripada luar(antarabangsa).

19. Bukan juga pemimpin Melayu yang cuba dijatuhkan, tetapi pemimpin yang korup dan tidak amanah. Bukan juga pemimpin Melayu dihina, tetapi merekalah yang menghina diri sendiri dan orang Melayu dengan tidak menunjukkan contoh yang baik kepada bangsa lain.

20. Kenapa perlu disalahkan bangsa lain sekiranya pemimpin Melayu korup? Kenapa pula perlu disalahkan orang Cina dan India sekiranya ekonomi Melayu masih merudum dibelenggu kemiskinan? Kenapa pula disalahkan pemimpin pembangkang apabila cuba menjatuhkan kerajaan sediada sekiranya rakyat sendiri yang mahukan perubahan itu? Kenapa pula disalahkan kuasa asing atau dana asing yang mahu jatuhkan Malaysia, sekiranya pemimpin kita sendiri tidak bijak mentadbir sebuah kerajaan?

21. Persoalan siapa yang menindas itu seolah-olah cuba dijatuhkah kepada parti politik yang menjadi musuh beliau dan dikaitkan dengan sesetengah bangsa.


22. Beliau juga ada menyatakan mengenai Perhimpuanan Rakyat Bersatu yang diadakan pada 16 September lalu.

23. Saya tiada masalah untuk mana-mana pihak mengadakan perhimpunan aman. Negara demokrasi seharusnya sentiasa memberi ruang pada rakyatnya menyatakan suara hati mereka. Secara umumnya saya tiada masalah dengan BERSIH mahupun Perhimpunan Rakyat Bersatu(Red Rally)

24. Apa yang saya bimbangkan adalah layanan kerajaan dalam kedua-dua perhimpunan ini. Kita tahu BERSIH adalah satu perhimpunan yang tidak menyokong Najib dan mahukan satu bentuk pentadbiran yang bersih dari politik wang dan penyalahgunaan kuasa. Perhimpunan Rakyat Bersatu pula adalah untuk menyatukan orang Melayu sekaligus digunakan oleh orang politik yang menyertainya kononnya untuk menyokong Najib. 

25. Perbezaan ini menyebabkan kedua-dua perhimpunan ini mendapat layanan yang berbeza daripada kerajaan dan media arus perdana. Saya cukup kesal apabila media arus perdana antaranya TV3 dan RTM terus-menerus menggunakan istilah "Perhimpuanan Haram Bersih" atas alasan perhimpunan itu tidak mendapat 'permit' penguatkuasa. Tidak pula kepada Red Rally. Mereka menggunakan istilah perhimpunan aman untuk mereka serta ditambah objektifnya untuk menyatakan sokongan kepada Najib. Ini tidak adil dan satu penipuan!

26. Tiada istilah haram atau halal dalam akta perhimpunan aman. Memang benar, dahulu penganjur perlu memaklumkan kepada polis dalam masa 10 hari sebelum berhimpun.  Hanya perlu maklumkan, bukan minta kebenaran. Namun begitu, peraturan sudah berubah berikutan keputusan mahkamah dalam kes Nik Nazmi mencabar akta perhimpuanan aman telah memutuskan bahawa penganjur tidak perlu maklumkan untuk berhimpun. Maka istilah 'Perhimpunan Haram Bersih' adalah tidak benar dan satu bentuk pembohongan kerajaan kepada rakyat yang tidak lain hanya untuk memberi gambaran buruk kepada BERSIH. 

27. Selain itu, kerajaan juga berat sebelah dalam mengenakan tindakan undang-undang kepada penganjur kedua-kedua perhimpunan.  Bagi menunjukkan kebencian kerajaan kepada BERSIH, mereka telah dikenakan pelbagai halangan termasuk didenda RM65K atas kesalahan menyebabkan kebersihan kawasan terjejas dengan sampah-sarap. Saya setuju dengan tindakan ini dikenakan keatas mana-mana penganjur perhimpunan,festival,pesta atau apa-apa aktiviti luar yang dijalankan termasuk BERSIH. Saya juga setuju tindakan ini dikenakan sekiranya penganjur BERSIH benar-benar didapati bersalah menyebabkan kebersihan kawasan berhimpun terjejas. Namun persoalannya kenapa hanya BERSIH sahaja yang dikenakan? Kenapa tidak Red Rally? Kenapa tidak kepada penganjur festivel belia yang diadakan seminggu sebelum BERSIH diadakan yang juga menggunakan kawasan yang sama dan menyebabkan kebersihan terjejas?

28. Saya cukup kesal dengan kerajaan yang berat sebelah. Saya juga sedih melihat seorang pemimpin yang tidak amanah mentadbir negara yang saya cintai ini.

29. Kerajaan sediada yang yang dinaungi oleh Barisan Nasional ini sebuah kerajaan yang tidak jujur. Mereka sewenangnya melaungkan gagasan berbentuk retorik tetapi bertindak sebaliknya. Mereka melaungkan 1Malaysia tetapi dilihat seperti 1UMNO atau 1Najib. Mereka kata mereka pedulikan rakyat, tetapi rasanya mereka lebih pedulikan parti mereka dan nasib DS Najib.

30. Diantara semua kecelaruan yang ditimbulkan sepanjang pemerintahan mereka, perkara yang paling saya kesali adalah pengkhianatan mereka kepada agenda membentuk negara bangsa. Slogan perpaduan mereka hanya diguna pakai sekiranya keadaan memihak kepada mereka atau dalam ucapan-ucapan majlis besar sahaja. Hakikatnya, mereka jugalah yang membangkitkan isu perkauman. Mereka jugalah yang meretakkan perpaduan ini. Mereka menggunakan race card dan religious card demi kepentingan politik untuk mendapat sokongan rakyat. Isu bangsa dan agama seperti poker card yang sewenang-wenangnya digunakan bersilih ganti untuk menutup kurap mereka. 

31. Demi perpaduan dan pembinaan bangsa Malaysia golongan sedemikian perlu ditentang. Parti berasaskan kaum ini adalah copy daripada dasar pecah dan perintah British semasa dijajah dahulu. Mereka adalah orang yang berpura-pura melindungi kepentingan golongan tertentu dengan kata-kata keramat 'perjuangan Abata'(agama, bangsa, tanah air) , namun merekalah yang menyebabkan golongan berkenaan tertindas. 

32. Nasihat saya untuk pemimpin nombor satu Malaysia DS Najib, buka mata dan lihatlah kesengsaraan rakyat, besarkan telinga dan dengarkan keluhan kami. Berhenti daripada melakukan kerosakan, kembali kepada kebenaran. Jadilah pemimpin yang jujur, amanah, adil dan peduli nasib rakyat. Dalam negara demokrasi, pemimpin ini dipilih oleh rakyat untuk menjaga kepentingan mereka, bukan kepentingan diri sendiri. Sekiranya sebilangan rakyat sudah memberikan isyarat tidak menyokong, maka berundurlah. Itu yang perlu dilakukan oleh pemimpin yang baik.

Thursday, 17 September 2015

Hari Malaysia: Hala tuju dan Cita-cita

1. 58 tahun kemerdekaan Tanah Melayu dan 52 tahun pembentukan sebuah gagasan Malaysia hasil gabungan semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Dalam satu tempoh lebih separuh dekad ini, banyak perkara yang sudah kita kecapi. Dari sebuah tanah yang dijajah sehingga sebuah negara yang berdaulat, dari penstrukturan ekonomi yang kacau-bilau sehinggalah kepada sebuah dasar ekonomi yang liberal.

2. Dalam tempoh masa ini juga kita dapat lihat lima orang peneraju negara bersilih ganti, meninggalkan warisan dasar pembangunan negara kepada generasi penerus, yang setiap satunya mempunyai jasa tersendiri dalam membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

3. Perubahan ini merangkumi dasar ekonomi yang dipengaruhi ideologi mereka yang memerintah, dari pemimpin aristokrat berjiwa nasionalis berubah kepada pembawaan nilai-nilai liberalisasi ekonomi dan amalan kronisme dan nepotisme di dalam pemerintahan negara. 

4. Namun, realitinya dalam tempoh ini, tidak semua perkara indah-indah belaka seperti mana yang dilaungkan oleh parti pemerintah. Kita perlu sedar bahawa tidak semua dasar yang dilaksananakan membawa kesan yang baik kepada pembentukan sebuah negara Malaysia. Malah sebahagian besar dasar yang dibawa dipengaruhi oleh dasar parti pemerintah dan amalan yang diterapkan dalam kalangan pemimpin mereka yang terdahulu. 

5. Sebahagian besar dasar pembentukan negara di cetuskan mengikut selera parti pemerintah, tanpa memikirkan isi hati rakyat. Dasar yang dibawa oleh parti pemerintah adalah copy dari sistem pemerintahan British, dasar pecah dan perintah. UMNO untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India. Pembawaan seperti ini sudah tidak relevan dan tidak boleh diterima pakai dalam mewujudkan bangsa Malaysia dan membina perpaduan rakyat. 

6. Hakikatnya, parti yang berasaskan kaum ini tidak lain hanyalah sebagai senjata politik bagi mereka yang takut kehilangan kuasa memerintah. Isu bangsa dan agama sering dijual agar mereka kekal berkuasa, dalam masa yang sama setiap tindakan mereka tidak mencerminkan apa yang dilaungkan. 

7. Kesannya, sehingga kini kita gagal membina sebuah bangsa Malaysia, semangat perkauman semakin menebal dan apatah lagi rakyat semakin jauh dengan kefahaman hidup beragama yang sebenar. Negara jiran yang merdeka sedikit lewat daripada kita sudahpun menuju kearah itu. Namun Malaysia masih berada di takuk yang sama setelah lebih 58 tahun mencapai kemerdekaan.

8. Matlamat akhir pembentukan sebuah negara bangsa adalah membina sebuah bangsa yang bukan berasaskan kaum, warna kulit atau bahasa ibunda, tetapi sebuah bangsa yang berasaskan semangat kenegaraan dan cintakan perpaduan. Sebuah bangsa yang hidup harmoni bersama, saling menghormati perbezaan dan mengamalkan nilai kehidupan yang baik dibawah satu naungan perlembagaan dan rukun negara yang sama.

9. Rakyat Malaysia boleh dikatogerikan kepada beberapa kelompok berdasarkan generasi dan mentaliti. Secara lazimnya, saya katogerikan mereka kepada generasi terdahulu dan generasi muda. Cara pemikiran dua golongan ini berbeza atas faktor pengalaman dan pendedahan pada persekitaran dan zaman yang berbeza. 

10. Dalam konteks perpaduan dan pembinaan sebuah bangsa Malaysia, generasi muda lebih terbuka mahukan satu perubahan dilakukan demi masa depan negara yang sejahtera. Mereka tidak mahu hidup didalam sebuah negara yang memiliki terlalu banyak perbezaan dan wujud pertelingkahan akibat perbezaan itu. Sebahagian mereka juga sudah letih dengan isu perkauman yang ditunjangi parti politik dan diskriminasi hak kewarganegaraan seperti tiada penghujungnya. 

11. Perpaduan merupakan perkara dasar yang perlu diselesaikan untuk menuju kepada status negara maju. Dengan adanya perpaduan, maka tidak akan ada konflik dalam menentukan dasar kerajaan tidak kira dari segi ekonomi mahupun pendidikan.

12. Rakyat Malaysia sudah biasa dipecahkan dengan terminologi bumiputera dan bukan bumiputera dalam penstrukturan dasar kerajaan. Bukankah lebih baik jika kategorikan mereka mengikut status sosioekonomi dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan adil.

13. Rakyat Malaysia perlu ada hala tuju yang sama. Dalam konteks pembinaan negara bangsa, setiap daripada kita wajib menyokong segala usaha yang membawa kepada pembentukan sebuah bangsa Malaysia dan menolak segala bentuk usaha yang memecahbelahkan perpaduan ini. Perbezaan perlu  dihormati dan persamaan perlu dirai oleh semua orang.

14. Saya mengimpikan untuk melihat Malaysia sebagai satu entiti. Tidak ada yang membezakan kita melainkan warna kulit dan pegangan agama. Saya sentiasa berharap generasi penerus dan bakal pemimpin supaya lebih memfokuskan pada usaha membawa perpaduan dan keharmonian dalam Malaysia.

Saya sayang Malaysia!


Tuesday, 15 September 2015

PRK UM kembali Lagi!

PRK datang lagi! Setiap tahun, semua universiti di Malaysia akan menjalani sistem demokrasi di kampus bagi memilih pemimpin dalam kalangan mahasiswa.

Tahun ini merupakan tahun pertama pelaksanaan dasar/peraturan baru pilihan raya kampus oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Setiap kampus memperlihatkan pertembungan hebat antara dua parti pelajar yang  dominan iaitu Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa. Suasana politik UM yang saban tahun dinanti-nantikan perkembangannya oleh seluruh rakyat Malaysia juga tidak kurang hangatnya.


Pro Mahasiswa telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan boikot pilihan raya kampus. Adakah ini bermakna sistem demokrasi di kampus akan mati? Tidak!


Ketiadaan jentera Pro Mahasiswa dalam gelanggang demokrasi pada tahun ini, telah menyebabkan kemunculan kuasa baru yang lahir daripada mahasiswa sendiri atas tiket bebas tanpa keterikatan dengan mana-mana parti politik sebagai 'third force', sekaligus menghangatkan lagi suasana politik kampus di UM dengan memberi mahasiswa pilihan baru, yang mungkin lebih baik dari calon partisan atau sebaliknya.


Memandangkan Pro Mahasiswa tidak bertanding, secara jujur saya cukup tertarik dengan slogan yang dibawa oleh wadah Penggerak Mahasiswa pada tahun ini, #UniteForChange . 'Unite' itu sendiri adalah satu perkataan yang cukup powerful, kerana kesatuan itulah yang dinantikan-nantikan oleh mahasiswa yang sudah muak dibelenggu permainan politik tidak bermoral oleh golongan partisan di mana-mana kampus sekalipun . Apatah lagi apabila perkataan 'unite' itu digandingkan dengan satu lagi perkataan yang jika kita amati ia adalah objektif utama yang dikongsi oleh mana-mana parti atau calon 'third force' iaitu 'ForChange'. Jadi jika ia menjadi satu frasa, #UniteForChange merupakan satu frasa yang membawa idea atau satu agenda perubahan dan asas kepada perjuangan mahasiswa yang WAJIB disokong sekiranya ia bukanlah hanya sekadar retorik permainan politik partisan.


Politik kampus tidak boleh dipengaruhi suasana politik semasa negara. Kita tidak menolak kemungkinan wujud hubungan antara parti atau mahasiswa sendiri dengan parti atau ahli politik luar. Namun begitu, sebagai pemimpin mahasiswa kita perlu merubah suasana politik negara yang kian tenggelam dengan semangat partisan yang sebahagian besar tidak membawa faedah kepada pembangunan negara, jika tidak kita hanya akan meneruskan kitaran suasana politik yang tidak sihat yang ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu.


Dalam konteks politik kampus, terutamanya di Universiti Malaya, saya juga antara ribuan mahasiswa yang mengharapkan perubahan terus dilakukan demi kebaikan universiti dan negara. Pilihan raya perlu dijalankan secara adil dan setiap calon yang bertanding perlu diberikan peluang dan pentas yang sama rata, tidak kira pro-establishment, anti-establishment atau bebas sekalipun. Di luar, sebahagian besar rakyat sudah muak dengan permainan politik berat sebelah oleh parti pemerintah. Saya maklum bahawa antara formula negara maju adalah pegangan kerajaan kepada jabatan kerajaan, sektor awam, media arus perdana, institusi pendidikan dan badan penguatkuasa bagi mengawal setiap gerak kerja dan menjamin kelangsuangan setiap dasar dan polisi kerajaan. Namun yang menjadi punca kegagalan pegangan ini adalah ketidakcekapan dan kurang kebijaksanaan kerajaan dalam menangani isu negara dan rakyat. Akhirnya pegangan kuasa ini disalahgunakan sehingga dijadikan alat untuk mengekalkan kuasa mereka dan mengelakkan dari di persalahkan atas kerosakan yang dilakukan selama ini. Sistem ini juga memberi kesan langsung dalam institusi pendidikan, dimana kerajaan meletakkan orang yang berkepentingan dalam posisi tertinggi pentadbiran universiti bagi mengekalkan kuasa mereka di peringkat mahasiswa lagi. Hal ini bertambah buruk apabila pentadbir universiti bertindak seperti mana kerajaan sedia ada bagi menghalang kelompok mahasiswa berhaluan kiri. Situasi sebegini seolah-olah 'copy paste' apa yang berlaku dalam negara dan akhirnya politik tidak sihat inilah yang akan diwarisi oleh generasi pemimpin seterusnya.


Jika ditanya kepada saya perubahan apa yang mahasiswa nantikan, saya berpendapat, gerakan mahasiswa kampus terutama di Universiti Malaya perlu memperjuangkan sistem yang adil dan telus, peluang yang sama rata dan menolak semangat partisan yang keterlaluan sehingga membelakangkan kebenaran dan kesatuan suara mahasiswa. Jika tidak laungan kesatuan dan perubahan itu hanyalah sekadar retorik tatkala musim pilihan raya kampus.



p/s: penulisan ini hanyalah sekadar pandangan saya mengenai suasana politik negara dan kampus terutamanya di Universiti Malaya. Sebahagian daripada penulisan ini juga adalah atas pengalaman sendiri terlibat secara langsung dalam politik kampus.




****************petikan sajak Negeri Haha Hihi oleh Gus Mus************


Banyak yang terus pamer kebodohan dengan keangkuhan yang menggelikan

Banyak yang terur pamer keberanian dengan kebodohan yang mengharukan
Banyak yang terus pamer kekerdilan dengan teriakan memilukan
Banyak yang terus pamer kepengecutan dengan lagak yang memuakkan

hahaha penegak keadilan jalannya miring Penuntut

keadilan kepalanya pusing
Hakim main mata dengan maling
Wakil rakyat baunya pesing hihihihi

kalian jual janji – janji untuk menebus kepentingan sendiri

kalian hafal pepatah produktif untuk mengelabui mereka yang tertindih
Pepatah petitih




****************************************************************